Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

26 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Air

Nombor Soalan

96

Soalan

Datuk Rabiyah Binti Ali minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bagaimanakah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta NAHRIM membuat kajian terperinci mengenai risiko banjir di kawasan kawasan yang dikelilingi projek pembangunan fizikal yang pesat serta bagaimana perancangan kapasiti saliran dapat dibuat untuk mengelakkan kejadian banjir kilat.

Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

Dalam menangani masalah banjir kilat di seluruh negara, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran telah menyiapkan Kajian Komprehensif Penyelesaian Jangka Panjang Memerangi Banjir Kilat pada tahun 2013 dan Laporan Status Tahun 2017 Isu Banjir Kilat. Sebanyak 468 lokasi banjir kilat di seluruh negara telah dikenalpasti berbanding 102 lokasi pada 2013. Laporan Status Tahun 2017 Isu Banjir Kilat telah menyarankan langkah-langkah penyelesaian yang terbahagi kepada dua pendekatan iaitu penyelesaian secara struktur dan bukan struktur seperti berikut: 

a) Pendekatan secara struktur : 

i) Melaksanakan kerja-kerja pembinaan infrastruktur kawalan. Bagi mengatasi punca disebabkan oleh fenomena di luar kawalan ini, Kementerian mengesyorkan Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) diguna pakai secara menyeluruh kerana manual ini diperkenalkan dengan hasrat kawalan di punca bagi mengurangkan impak pertambahan jumlah air larian selepas pembangunan dilaksanakan seperti keutamaan pembinaan kolam tadahan; 

ii) Penggunaan kaedah kolam takungan untuk meminimakan banjir kilat kesan dari perubahan pola taburan hujan lebat ekstrim melalui pendekatan menakung seketika dan mengalirkan perlahan-lahan air ke kawasan hilir ;

iii) Menaiktaraf sistem saliran dengan meningkatkan kapasiti air larian dan memastikan kecerunan sistem saliran yang bersesuaian seterusnya mengurangkan halangan aliran dengan membesarkan saiz dan mendalamkan kedalaman pembetung bagi mengelakkan berlakunya bottleneck dan aliran balik (backflow) ; dan iv) Pemasangan pintu kawalan air pasang surut beserta pam di hilir (titik luahan akhir / final discharge) bagi memastikan air laut tidak memasuki sistem saliran sediada untuk kawasan-kawasan yang berhampiran dengan persisiran pantai.

b) Pendekatan bukan struktur

i) Menjalankan Program “Public Outreach” dan Kempen Kesedaran Alam Sekitar di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar masyarakat berdisiplin terhadap kebersihan bandar demi mengelakkan longkang dan parit tersumbat; 

ii) Menyediakan Pelan Induk Saliran Mesra Alam dan Rekabentuk Terperinci mengikut garis panduan MSMA untuk diserah kepada pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan PBT (memandangkan tanggungjawab melaksana penyediaan atau menaiktaraf sistem saliran bandar adalah di bawah fungsi dan tanggungjawab Kerajaan Tempatan); 

iii) Memantau pematuhan garis panduan MSMA di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (KPKT/JKT/PBT) – kawalan di punca; 

iv) Menguatkuasa dengan lebih tegas pengawalan hakisan dan kelodak semasa kerja-kerja tanah, fasa pembinaan untuk
mengurangkan hakisan tanah, mengelak pemendapan, banjir kilat dan aliran lumpur (dengan kerjasama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT)/ Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT)/ Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS); dan

v) Melaksana perancangan pembangunan dan zon guna-tanah yang lebih teratur (dengan kerjasama Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) / Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT)/ Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD).

vi) Pemakaian Rang Undang-Undang Sumber Air (RUU SA) antara kaedah dari segi perundangan bagi meminimakan kejadian dan kesan banjir kilat di Malaysia.
Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) juga sedang melaksanakan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di beberapa kawasan dan bandar di seluruh Negara dalam RMKe-11 bagi membantu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam perancangan pembangunan agar dapat menangani isu banjir kilat pembangunan tidak terkawal. Sebanyak 17 Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) telah siap sehingga tahun 2017. Manakala 16 lagi Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) akan dilaksanakan pada RMKe-11 ini.

Sekian, terima kasih.

Attachments