Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

12

Soalan

Dato' Sri Khairudin Samad minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan sejauh manakah usaha yang dilakukan Kerajaan dalam memulihkan kawasan hutan yang telah gondol akibat aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan.

Jawapan

​​​

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mengambil tindakan bagi menangani penerokaan kawasan hutan yang tidak terkawal dengan menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi-agensi Penguatkuasaan. JPSM telah berusaha memulih semula kawasan hutan melalui aktiviti penanaman pokok bagi kawasan-kawasan bekas teroka dengan melaksanakan program-program berikut:

i. Program Pemulihan Kawasan Hutan Terosot
Program pemulihan kawasan hutan terosot telah dirangka bagi memastikan pemuliharaan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) yang terosot dan miskin di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11), JPSM telah diluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta dibawah Projek Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia. Projek ini dilaksanakan bagi memulihara dan memelihara kawasan terosot akibat penerokaan haram dan bencana alam di Semenanjung Malaysia. Pada tahun 2017, seluas 434.85 hektar kawasan hutan terosot dan miskin telah berjaya ditanam dengan penanaman sebanyak 271,250 anak pokok yang merangkumi kawasan di Semenanjung Malaysia.

ii. Projek Central Forest Spine (CFS)
Projek Central Forest Spine (CFS) adalah bertujuan untuk membentuk satu rangkaian hutan perlindungan yang

bersambung melalui pembentukan koridor ekologi bagi kepentingan pemeliharaan kepelbagaian biologi, hidupan liar dan alam sekitar. Projek ini juga melibatkan restorasi semula kawasan-kawasan terosot dengan tanaman pelbagai spesies pokok hutan khususnya yang berkepentingan untuk fauna. Sekaligus ini dapat mengurangkan nyah hutan (deforestation) terutamanya di kawasan yang telah dikenalpasti sebagai rangkaian ekologi CFS.

iii. Aktiviti Pemulihan Kawasan Hutan Terosot dengan melibatkan Badan Bukan Kerajaan (NGO)
Pada tahun 2017, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia juga telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM250,000.00 kepada Badan Bukan Kerajaan (NGOs) iaitu REACH, MNS, TRCRC, PEKA dan SASET bagi menjalankan aktiviti pemulihan dan pemeliharaan kawasan hutan terosot dengan melibatkan sukarelawan dikalangan masyarakat setempat, pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), sekolah rendah dan menengah. Penglibatan NGO ini adalah amat penting bagi membantu JPSM dalam memupuk perasaan menghargai dan tanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar terutamanya kawasan hutan dikalangan masyarakat setempat.

Antara langkah-langkah yang diambil dalam menjayakan komitmen ini adalah seperti berikut:

i. Mempergiatkan usaha ke arah mewartakan kawasan-kawasan berhutan sebagai Hutan Simpanan Kekal dan kawasan terlindung sepenuhnya;

ii. Menyediakan Rancangan Pengurusan Hutan Negeri setiap 10 tahun bagi tujuan pentadbiran, pengurusan dan pembangunan HSK secara berkekalan;

iii. Melaksana dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan hutan secara bersepadu dengan Agensi Kerajaan yang berkaitan bagi menangani aktiviti pencerobohan dan kesalahan hutan;

iv. Mempertingkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) perhutanan termasuk kaedah pengusahasilan yang berimpak rendah;

v. Menyedia, melaksana dan memantau Catuan Tebangan Tahunan (CTT) setiap tempoh Rancangan Malaysia Lima Tahun bagi kawasan hutan pengeluaran dalam HSK; dan

vi. Menjana pendapatan melalui potensi baru selain daripada kayu balak termasuk inisiatif REDD+ dan bayaran bagi perkhidmatan ekosistem (Payment for Ecosystem Services - PES) bagi mengurangkan kebergantungan peruntukan kewangan daripada kerajaan.

Sekian, terima kasih.


Attachments