Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 March 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Air

Nombor Soalan

76

Soalan

Puan Hajah Azizah Binti Haji Harun minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan apakah komitmen Jabatan Pengairan dan Saliran melalui Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara untuk mengadakan kajian semula dengan kadar segera ke atas kawasan-kawasan di Lembah Kelang yang dilanda Banjir Kilat dan bagaimanakah kerjasama strategik JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk meminimumkan kes banjir kilat.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) adalah pusat yang dibangunkan untuk menyalurkan maklumat ramalan dan amaran banjir. Walau bagaimanapun, pusat tersebut tidak menjalankan kajian berkenaan banjir kilat.
Dalam menangani masalah banjir kilat di seluruh negara, Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran telah menyiapkan Kajian Komprehensif Penyelesaian Jangka Panjang Memerangi Banjir Kilat pada tahun 2013 dan Laporan Status Tahun 2017 Isu Banjir Kilat. Laporan Status Tahun 2017 Isu Banjir Kilat telah memilih Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Pahang sebagai kajian kes untuk diketengahkan sebagai contoh tindakan-tindakan penyelesaian yang telah diambil dalam mengurus air hujan.

Berikut adalah hasil daripada Laporan Status Tahun 2017 Isu Banjir Kilat bagi kajian kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur;

1. Kerajaaan Persekutuan telah menyalurkan sejumlah RM93.4 juta bagi penyelesaian banjir kilat. Berdasarkan Kajian Pelan Induk Sistem Saliran Bandaraya Kuala Lumpur yang telah dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), antara langkah penyelesaian yang telah dan sedang diambil adalah pembinaan kolam takungan, sistem
pam, mendalam dasar sungai serta menaiktaraf sistem pembentungan.

2. Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf saliran utama dan kerja-kerja penyelenggaraan sistem saliran secara berkala turut dilaksanakan di lokasi banjir kilat sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

3. Kesimpulannya untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kajian Pelan Induk Sistem Saliran Bandaraya Kuala Lumpur telah menjadi satu panduan penting bagi menentukan dan merangka langkah penyelesaian yang sesuai di ambil dalam menangani permasalahan banjir kilat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kementerian melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) sentiasa menjalinkan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam usaha menangani masalah banjir kilat yang berlaku. Antaranya, usaha sama dalam pembinaan dan penyelenggaraan kolam-kolam takungan yang dapat mengurangkan masalah banjir kilat.

Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran juga telah dan akan melakukan kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di beberapa kawasan bandar di sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kajian-kajian ini dapat membantu PBT dan pihak yang berkepentingan dalam merangka pelan pembangunan yang melibatkan saliran-saliran bandar. Selain itu, PISMA juga dapat membantu PBT dalam mengenalpasti saliran-saliran bandar yang bermasalah dan perlu diselenggara serta dinaiktaraf untuk mengurangkan masalah banjir kilat yang berlaku. Segala maklumat dan hasil dapatan daripada kajian-kajian ini akan dikongsi kepada semua pihak berkaitan sebagai langkah mengatasi masalah banjir kilat.

Sekian, terima kasih

Attachments