Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) berdasarkan kepada maklumat daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengenalpasti beberapa lokasi yang terlibat dengan fenomena kepala air untuk menyediakan sistem amaran awal di bawah Program Ramalan Dan Amaran Banjir (PRAB) yang akan dibangunkan di 40 lembangan sungai utama. Walau bagaimanapun, lain-lain kawasan yang berpotensi berlakunya fenomena kepala air juga akan dikenalpasti bagi maksud tersebut.
Selain itu, bagi kawasan eko-pelancongan iaitu Taman Eko-Rimba dan Hutan Taman Negeri di bawah tadbir urus Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang melibatkan rekreasi air seperti sungai, jeram dan air terjun, Kementerian melalui JPSM telah mengesan lokasi-lokasi berisiko mengalami fenomena kepala air di seluruh Semenanjung Malaysia dan telah mengambil tindakan memasang Sistem Amaran Siren Kepala Air di sepuluh (10) kawasan berkaitan.
Antara lokasi tersebut adalah seperti Taman Eko-Rimba Ulu Bendul, Negeri Sembilan, Taman Eko-Rimba Gunung Pulai, Johor, Taman Eko-Rimba Ulu Kenas, Perak, Taman Eko-Rimba Lata Kinjang, Perak, Taman Eko-Rimba Lata Kekabu, Perak, Taman Eko-Rimba Ulu Kinta, Perak, Taman Eko-Rimba Papan, Perak, Taman Eko-Rimba Kuala Woh, Perak, Taman Eko-Rimba Lata Iskandar, Perak dan Taman Eko-Rimba Chemerong, Terengganu.
Pemasangan alat ini adalah bertujuan untuk mengesan kehadiran aliran air dalam kuantiti yang luar biasa daripada kebiasaannya, dan akan diaktifkan dengan sistem penggera yang akan memberi makluman kepada pengunjung dan pengurus taman sekiranya terdapat tanda-tanda awal yang boleh menyebabkan fenomena kepala air berlaku.
Kebiasaannya sistem ini akan mula aktif seawal 20-30 minit daripada jangkaan aliran kepala air akan tiba di kawasan rekreasi dan dalam tempoh masa ini, pihak pengurus taman perlu mengarahkan pengunjung untuk beredar ke kawasan yang selamat dan menutup kawasan rekreasi sehingga penggera dimatikan.
Sebelum Sistem Amaran Siren Kepala Air ini dipasang, kajian mitigasi turut dijalankan dengan usahasama Institusi Pengajian Tinggi Awam Tempatan (IPTA) bagi memastikan sistem ini dipasang di kawasan yang bersesuaian dan efektif dalam memaksimumkan peranan sistem ini sekiranya fenomena kepala air ini berlaku.
Selain itu juga, JPSM turut mengadakan latihan dengan melibatkan agensi berpengalaman seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi melatih kakitangan dalam menangani kemalangan yang berkaitan dengan fenomena kepala air serta langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih