Tuan Yang di-Pertua,
Jerebu merentas sempadan mula melanda negara pada tahun 1997 dan episod jerebu pada tahun 2015 merupakan yang terburuk pernah melanda negara. Kejadian jerebu merentas sempadan sering berlaku semasa musim kering iaitu semasa Monson Barat Daya dari bulan April hingga September yang membawa jerebu dari Indonesia ke Malaysia.
Namun begitu, kini setelah 2 tahun negara telah bebas daripada jerebu hasil kerjasama berkesan antara Negara ASEAN yang proaktif dan efisien melalui saluran rundingan dua hala atau sub-serantau yang melibatkan lima (5) buah negara selatan ASEAN iaitu Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand.
Antara komitmen negara-negara terlibat adalah untuk melaksanakan seperti berikut:
i) Melaksanakan Roadmap on ASEAN Cooperation towards Transboundary Haze Pollution Control with Means of Implementation bagi memastikan supaya visi ASEAN Bebas Jerebu pada tahun 2020 dapat dicapai;
ii) Memuktamadkan perjanjian penubuhan ASEAN Coordinating Centre (ACC) on Transboundary Haze Pollution yang berpangkalan di Jakarta di mana ACC
bertindak sebagai penyelaras bagi menangani isu jerebu di rantau ini;
Pihak Indonesia juga telah menunjukkan komitmen yang tinggi untuk menangani masalah jerebu merentasi sempadan sejak kejadian jerebu 2015 dan telah melaksanakan Indonesia’s Plan of Action (PoA) In Dealing with Transboundary Haze Pollution” melalui :
(i) Penubuhan agensi khas bagi memulihkan tanah-tanah gambut yang telah terbakar (Peat Restoration Agency);
(ii) Pelaksanaan jangka masa panjang “One Map Policy” iaitu pembangunan peta digital / geospatial bagi seluruh Indonesia; dan
(iii) Pelaksanaan Arahan Presiden (Presidential Directive) yang berkuatkuasa pada 18 Januari 2016. Ia meliputi arahan untuk tidak mengeluarkan permit baru bagi konsesi di tanah gambut (permit moratorium), pencegahan dan amaran awal jerebu, pengenaan hukuman yang tegas, pemuliharaan ekosistem tanah gambut, penguatkuasaan undang-undang serta kerjasama erat (sinergy) antara Kerajaan Pusat dan Tempatan (Provinsi).
Bagi unjuran kos keseluruhan yang telah dapat diselamatkan apabila jerebu teruk rentas sempadan ini berjaya dielakkan, perkara ini sedang diperincikan oleh pihak kerajaan dengan mengambil input daripada pelbagai sektor dan agensi.
Sekian, terima kasih