Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 April 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

4

Soalan

Laksamana Tan Sri Dato' Sri Mohd Anwar Bin Hj. Mohd Nor (B) minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan keberkesanan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 di dalam menentukan sungai-sungai di negara ini tidak dicemar.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus berusaha mengawal kualiti air sungai di negara ini melalui pemantauan secara berterusan dan konsisten. Di negara kita terdapat 2986 lembangan sungai yang meliputi Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Dari jumlah ini kira-kira 6% lembangan sungai berada di dalam Kelas I, kira-kira 89% berada di dalam Kelas II dan 5% berada di Kelas III.
Inisiatif Kerajaan Dalam Meningkatkan Pemantauan Kualiti Air Sungai Pada 13 April 2017, Kerajaan telah melancarkan Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) yang merupakan salah satu inisiatif kebangsaan yang dilaksanakan melalui Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership – PPP.

Melalui inisiatif ini, Kerajaan telah meluluskan 1353 stesen pengawasan manual baru berbanding 837 buah stesen manual sebelum ini. Tambahan kepada stesen ini, terdapat 30 buah stesen automatik baru telah di pasang dan ini merupakan peningkatan 20 stesen baru daripada hanya 10 stesen automatik berbanding dahulu. Penempatan 30 buah stesen automatik baru di hulu Loji Rawatan Air akan membolehkan tindakan mitigasi segera diambil pihak penguatkuasa seperti JAS dan Pihak Berkuasa Tempatan agar bekalan air ke rumah dijamin bersih dan tidak tercemar. Selain daripada itu, komponen air sungai juga akan memiliki 4 buah stesen automatik secara bergerak (Mobile Stations) yang baru mulai sekarang.

Pengawalan secara perundangan (regulatory) dikuatkuasakan melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan Peraturan-Peraturan yang dibuat di bawahnya. Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 menguatkuasakan kawalan pelepasan effluen dari industri seperti getah, kelapa sawit dan buangan terjadual termasuk kumbahan berpusat bagi taman atau kawasan perumahan. Walau bagaimanapun, pelepasan pencemar yang berpunca daripada aktiviti perladangan, penternakan (yang diluar bidangkuasa Jabatan Alam Sekitar) seperti aktiviti memproses baja tahi ayam, pembajaan di kawasan pertanian dan juga pembukaan kawasan pertanian meluas yang terletak di dalam kawasan tadahan (yang tidak diwartakan) adalah terletak di dalam pengurusan dan kawalan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan Negeri.

Lain-Lain Pendekatan Selain itu pendekatan lain yang telah diambil adalah menjalankan kempen-kempen kesedaran alam sekitar yang merupakan usaha berterusan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai. Kempen-kempen mengenai betapa pentingnya sungai untuk dihargai dan dijaga akan sentiasa diberi penekanan oleh pelbagai agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar seperti JAS, JPS dan NAHRIM. Pendekatan ini walaupun lebih bersifat strategi jangka panjang tetapi Kementerian mengharapkan masyarakat akan lebih menghargai sungai sebagai punca utama sumber air Negara.

Sekian, terima kasih.

Attachments