Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 April 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

53

Soalan

Dato' Shahanim Binti Mohamad Yusoff minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan berapakah kes-kes ketidakpatuhan pelepasan udara tidak bersih yang direkodkan pada tahun 2017 serta bagaimana cara paling berkesan Jabatan Alam Sekitar memastikan industriindustri berkaitan terus komited untuk memastikan udara di persekitaran kerja dan kejiranan terus terpelihara kebersihannya.

Jawapan

​​​​

Tuan Yang di- Pertua,

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan terus berusaha mengawal kualiti udara di negara ini melalui pendekatan-pendekatan secara perundangan (regulatory) dan secara bukan perundangan (non-regulatory).

Pendekatan Secara Perundangan (Regulatory)

Pengawalan secara perundangan (regulatory) ialah dengan menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dalam melindungi dan mengawal pencemaran alam sekitar berkaitan aktiviti-aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran udara. Di bawah Akta 127 ini terdapat 12 Peraturan dan Perintah yang digubal bagi menetapkan standard-standard dan prosidur pelepasan pencemar udara yang ditetapkan bagi melengkapi kehendak Akta.
Bagi kes-kes ketidakpatuhan yang dilakukan oleh kilang-kilang sepanjang tahun 2017 sejumlah 760 kes telah direkodkan dan tindakan perundangan seperti penyampaian Notis, Perintah Larangan dan tindakan Mahkamah telah dikenakan terhadap kilang-kilang yang mencemarkan udara pada tahun 2017.

Kesalahan melepaskan pencemar ke udara melebihi had yang ditetapkan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 22(1), Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan didenda di bawah Seksyen 22(3) dengan hukuman denda tidak lebih daripada RM 100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak lebih dari 5 tahun atau kedua-duanya sekali disamping itu denda tambahan tidak lebih daripada RM 1000.00 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan.

Pendekatan Secara Bukan Perundangan (Non-Regulatory)

Tuan Yang DiPertua,

Pengawalan secara bukan perundangan (non-regulatory) bagi pengawasan kualiti udara juga dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar melalui pemantauan berterusan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang dicerap oleh stesen-stesen pemantauan kualiti udara yang terdapat di seluruh Malaysia. Pada masa ini terdapat 52 buah stesen pemantauan kualiti udara di seluruh Malaysia. Kesemua stesen berupaya menghantar bacaan semasa kepekatan pencemar udara seperti Partikulat PM10, Carbon Monoksida, Sulfur Dioksida, Nitrogen Dioksida dan Ozon. Data-data ini akan dihantar ke Environmental Data Centre (EDC) dan bacaan Indeks Pencemar Udara akan diperolehi secara atas talian. Sekiranya Ahli-Ahli yang berhormat ingin mengetahui bacaan Indeks Pencemar Udara semasa, bolehlah melayari laman web JAS di www.doe.gov.my atau boleh muat-turun aplikasi mobil di laman web yang sama.

Lain-Lain Pendekatan

Sebagai pelengkap kepada pendekatan penguatkuasaan (regulatory) dan pengawasan (non-regulatory) oleh Kementerian, pendekatan lain yang telah diambil adalah menjalankan kempen-kempen kesedaran alam sekitar yang merupakan usaha berterusan dalam memberi kesedaran kepada orang ramai. Kempen-kempen mengenai betapa pentingnya penjagaan kualiti udara seperti Kempen Mencegah Pembakaran Terbuka, Sambutan Hari Ozon, Sambutan Hari Alam Sekitar dan sebagainya adalah usaha yang wajar dijalankan bukan sahaja oleh pihak Kementerian sahaja tetapi sesiapa sahaja boleh menjalankan aktiviti-aktiviti atau kempen-kempen kesedaran demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Sekian, terima kasih.


Attachments