Tuan Yang di- Pertua,
Selaku Kementerian yang bertanggungjawab bagi pengeluaran lesen eksport (AP) mineral dan bahan batuan menurut Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport) 2017, sebanyak 5 syarikat telah diluluskan AP bagi mengeksport pasir ke luar negara. Ia diluluskan setelah meneliti pelbagai aspek termasuk penjagaan alam sekitar, kapasiti pengeluaran dan sebagainya.
Berhubung pembayaran royalti terhadap pengeluaran pasir, ia dikenakan oleh pihak berkuasa yang meluluskan permit / lesen mengeluarkan pasir tersebut iaitu Kerajaan Negeri bagi pasir sungai dan pasir laut sehingga 3 batu nautika dari tikas air surut menurut Kanun Tanah Negara dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian bagi pasir laut yang dikeluarkan di kawasan pelantar benua menurut Akta Pelantar Benua 1966.
Dalam hal ini, berdasarkan kepada komitmen negara terhadap perjanjian-perjanjian perdagangan bebas, tiada sebarang bayaran yang dikenakan oleh Kementerian ini terhadap pengeluaran AP mineral dan bahan batuan.
Sekian, terima kasih.