Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 13

Penggal

Penggal 6

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

04 April 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Alam Sekitar

Nombor Soalan

15

Soalan

Datuk Ng Chiang Chin minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan adakah Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas isu-isu yang membabitkan jenayah alam sekitar yang berlaku di negeri seperti kejadian hakisan tanah dan kilang haram di Sungai Lembu, Pulau Pinang, jika Kerajaan Negeri enggan atau tidak mengambil sebarang tindakan. Dalam kes pembalakan haram di hutan simpanan di Lipis, sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan meskipun Kerajaan Negeri juga mempunyai kuasa berbuat demikian sepertimana yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, Senarai III - Senarai Bersama, Perlembagaan Persekutuan.

Jawapan

​​​​

Tuan Yang di- Pertua,

Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap isu-isu pencemaran yang berlaku di negeri-negeri dengan syarat kejadian pencemaran yang berlaku tertakluk kepada mana-mana Akta yang diperuntukan di bawah Kerajaan Persekutuan. Dalam hal ini Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Alam Sekitar mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap aktiviti yang mencemarkan alam sekitar sekiranya aktiviti tersebut tertakluk kepada Akta Kualiti Alam sekeliling, 1974.

Bagi kes kejadian hakisan tanah di Pulau Pinang, JAS tidak boleh mengambil apa-apa tindakan perundangan kerana aktiviti yang dijalankan tidak tertakluk di bawah mana-mana perundangan yang diperuntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Bagi pengoperasian sebuah kilang haram di Sungai Lembu, tindakan perundangan telah diambil terhadap premis tersebut kerana didapati melanggar Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih), 2014 yang mana premis telah diberi Perintah Larangan dan tindakan mahkamah.

Oleh yang demikian, adalah jelas bahawa tindakan penguatkuasaan hanya akan diambil sekiranya sesuatu kejadian atau perbuatan mencemar itu melanggar mana-mana peruntukkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Pada masa yang sama Kerajaan Negeri juga boleh mengambil tindakan perundangan di bawah undang-undang negeri yang bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan.

Bagi urusan pentadbiran dalam menangani sesuatu isu, satu Jawatankuasa Bersama boleh ditubuhkan untuk kepentingan bersama tetapi tindakan perundangan masih tertakluk kepada kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada agensi-agensi persekutuan atau negeri berkenaan.

Sekian, terima kasih.


Attachments