Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Air

Nombor Soalan

11

Soalan

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [ Kuala Krai ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh Kementerian dalam menghadapi banjir selepas banjir besar 2014.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,
 
Banjir besar yang berlaku pada 2014 adalah akibat daripada hujan berterusan selama 15 hari. Bencana ini telah menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda terutamanya di kawasan sepanjang Sungai Kelantan. Semakan rekod menunjukkan 25 orang telah kehilangan nyawa, seramai 500,000 orang telah dipindahkan dan jumlah kos kemusnahan dianggarkan lebih daripada RM2.85 bilion semasa kejadian banjir tersebut bagi keseluruhan tiga negeriiaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang.
 
Dalam usaha untuk mengurangkan kesan bencana banjir pada masa akan datang, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif melalui pelaksanaan program-program pencegahan banjir jangka masa pendek dan jangka masa panjangyang melibatkan langkah struktur dan bukan struktur.
Bagi langkah bukan struktur , Kerajaan sedang melaksanakan Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara, PRAB (National Flood Forecasting and Warning Program).PRAB merupakan program jangka panjang dan menyeluruh yang akan dijalankan selama 7 tahun yang meliputi seluruh Negara dengan kawasan fokus di 40lembangan sungai. PRAB Fasa 1 yang melibatkan tiga (3) lembangan sungai iaitu Lembangan Sg. Kelantan, Lembangan Sg. Terengganu dan Lembangan Sg. Pahang yang bermula pada tahun 2015 dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun 2019.

Empat (4) komponen utama PRAB merangkumi komponen Pengesanan, Pusat Data Ramalan, Pemodelan Ramalan dan Hebahan Amaran.
Objektif PRAB Fasa 1 adalah:
a) Membuat ramalan banjir monsun 7 hari lebih awal;
b) Memberi amaran banjir monsun 2 hari lebih awal kepada agensi-agensi yang berkaitan dan penduduk yang terjejas akibat banjir; dan
c) Mengurangkan perbezaan data antara ramalan dan cerapan dari paras air 1 meter kepada kurang daripada 0.5 meter.
Bagi langkah struktur pula, Kerajaan telah meluluskan dua (2) projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) di Negeri Kelantan, iaitu :
i) Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa 1; dan
ii) Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 1.

Sekian, terima kasih.

Attachments