Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

472

Soalan

Tuan Wong Chen [ Subang ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan memandangkan aktiviti-aktiviti perdagangan haram haiwan masih berleluasa :-

 
(a) status terkini atas tindakan yang diambil terhadap Anson Wong dan konco-konconya yang disyaki menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut; dan
 
(b) sama ada Jabatan PERHILITAN akan mereformasi unit antipemburuan haram sepenuhnya.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Pihak Kementerian menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) amat memandang serius perkara berkaitan aktiviti perdagangan haram hidupan liar ini. Tindakan siasatan dan langkah penguatkuasaan segera telah diambil oleh Jabatan PERHILITAN terhadap isu berkaitan dengan Anson Wong ini.

Jabatan PERHILITAN sentiasa memantau setiap pergerakan Anson Wong dan isterinya (Cheah Bing Shee) terutamanya selepas Anson Wong dibebaskan dari penjara pada tahun 2012.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat juga, Anson Wong ditahan di KLIA atas cubaan menyeludup 95 ekor Boa constrictor tanpa permit pada 27 Ogos 2010. Beliau telah didakwa dan semua lesen serta permit khas milik Anson Wong dan isterinya Cheah Bing Shee telah dibatalkan pada 22 September 2010 dan semua hidupan liar terjadual di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) milik mereka telah dirampas. Semenjak itu, Jabatan PERHILITAN tidak lagi mengeluarkan lesen atau permit atas nama Anson Wong atau Cheah Bing Shee.

Dakwaan syarikat petshop Rona Wildlife adalah milik Anson Wong adalah tidak benar di mana mengikut Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ia adalah milik individu bernama Muthu Komar A/L Kuppan. Namun begitu, Rona Wildlife disyaki merupakan kuncu-kuncu Anson Wong. Jabatan PERHILITAN juga telah membatalkan lesen perniagaan petshop Rona Wildlife yang dimiliki Muthu Komar A/L Kuppan kerana menyimpan 5 ekor Elongated Tortoise (Indotestudo elongata) yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta 716 tanpa permit khas.

Jabatan PERHILITAN telah mereformasi unit anti-pemburuan haram sepenuhnya. Jabatan PERHILITAN telah melaksanakan pengukuhan unit perisikan dan penguatkuasaan untuk membanteras aktiviti pemburuan haram. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah:-

i. Mentransformasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan PERHILITAN dengan menubuhkan Unit Perisikan pada tahun 2012 untuk mengumpul dan menganalisa maklumat jenayah hidupan liar yang dapat membantu tindakan penguatkuasaan yang tepat dan pantas terutamanya aktiviti pemburuan haram.

ii. Menambahan kakitangan di pintu masuk Negara (KLIA) pada tahun 2013 bagi membendung aktiviti penyeludupan hidupan liar.

iii. Mengukuhkan pasukan flying squad (Wildlife Crime Unit) yang bertindak secara responsive terhadap maklumat jenayah hidupan liar yang telah dianalisa.

iv. Menggunakan teknologi terkini dalam memastikan penjenayah dapat dijejaki dan maklumat dapat dikumpul sebaik mungkin.

v. Perkongsian maklumat dan kerjasama antara agensi dan antara Negara.

vi. Menjalankan program penguatkuasaan secara bersepadu dengan agensi penguatkuasaan lain seperti PDRM, ATM, KDRM, APMM dan AKSEM.  

vii. Kolaborasi dengan badan bukan kerajaan yang menyokong konservasi hidupan liar seperti World Wide Fund Malaysia (WWF-M), Wildlife Conservation Society Malaysia (WCS-M), Malaysian Conservation Alliance for Tigers (MYCAT), Malaysian Nature Society (MNS), RIMBA dan TRAFFIC.

viii. Memantau aktiviti pemburuan haram dan perdagangan hidupan liar melalui kolaborasi pertubuhan antarabangsa bersama INTERPOL dan ASEAN-WEN.

ix. Mengisytiharkan tahun 2018 sebagai Tahun Perangi Jerat 2018.

Sekian, terima kasih.

Attachments