Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

03 September 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Air

Nombor Soalan

13

Soalan

​DATUK MOHAN A/L THANGARASU minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah status masalah air di Negeri Selangor dan langkah yang diambil oleh Kementerian dalam menangani isu ini. Ini kerana berdasarkan kepada kenyataan YB Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, pada 3 Julai 2018 masalah air di Selangor akan diselesaikan dalam masa 1 bulan.

Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

1. Margin simpanan air di negeri Selangor yang terkini adalah pada kadar 4 peratus. Justeru pelbagai usaha sedang dilaksanakan di peringkat Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Negeri bagi meningkatkan margin simpanan air di negeri Selangor dan seterusnya memastikan akses bekalan air terawat terjamin kepada rakyat.

2. Keperluan bekalan air bagi negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk kegunaan domestik dan bukan domestik bagi tahun 2017 sahaja adalah sebanyak 4,890 juta liter sehari (JLH). Dengan beroperasinya Loji Rawatan Air Sungai Semenyih 2 pada Mac 2018 kapasiti agihan keseluruhan dapat ditingkatkan kepada 5,127 JLH berbanding permintaan 5,000 JLH. Walau bagaimanapun melalui penyiapan Loji Rawatan Air Labohan Dagang pada 2019 (200 JLH) dan Loji Rawatan Air Langat 2 (1,130 JLH), margin simpanan sedia ada dijangka akan dapat ditingkatkan kepada 7 hingga 10 peratus menjelang tahun 2022. Untuk peringkat awal LRAL2 dijangka akan dapat menyediakan 325 JLH pada November 2018. Langkah-langkah ini dijangka dapat menyelesaikan isu kekurangan margin air 
terawat di Negeri Selangor Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

3. Oleh yang demikian, sebagai penyelesaian jangka masa panjang, penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah merupakan langkah jangka masa panjang yang penting dalam melestarikan perkhidmatan bekalan air khususnya di negeri Selangor dan perkara inilah yang telah disebut melalui kenyataan YB Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, pada 3 Ogos 2018, di mana Negeri Selangor akan memuktamadkan pengambilalihan SPLASH demi untuk melengkapkan inisiatif penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Dalam konteks ini, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) yang merupakan operator air negeri kelak akan beroperasi secara “asset light” . Melalui model ini Air Selangor dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada usaha meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan kualiti perkhidmatan operasi. Selangor juga bakal mendapat kemudahan kewangan bagi pembangunan infrastruktur aset-aset bekalan air daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) yang lebih kompetitif berbanding pembiayaan komersial.

4. Selain itu, industri perkhidmatan bekalan air Selangor dapat dikawal selia secara efektif oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui penguatkuasaan Akta 655 dalam memastikan keberkesanan penyampaian dan kualiti perkhidmatan bekalan air. Oleh yang demikian, saya lebih cenderung untuk menyimpulkan bahawa penstrukturan semula ini adalah merupakan sinergi di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan operator air negeri dalam menjamin perkhidmatan bekalan air yang berkualiti pada kadar tarif yang kompetitif kepada rakyat negeri Selangor.

Sekian, terima kasih.​

Attachments