Tuan Yang di-Pertua,
(a) Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli memandang serius terhadap sebarang aktiviti yang menyebabkan pencemaran dan seterusnya menjejaskan kesejahteraan penduduk. Dalam isu bauksit di Kuantan, Kementerian ini bersama-sama Kerajaan Negeri Pahang telah mengenakan moratorium terhadap aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit mulai Januari 2016 yang mana sebarang aktiviti mengorek dan mengeluarkan bauksit baharu adalah tidak dibenarkan. Tindakan ini dibuat adalah berdasarkan aktiviti tersebut telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar, kebersihan persekitaran dan kesejahteraan penduduk Kuantan.Kementerian ini telah mengadakan beberapa siri engagement dan mesyuarat bersama pelbagai pihak yang berkaitan termasuk wakil pengusaha dalam merangka penambahbaikan terhadap semua peraturan, prosedur dan garis panduan yang melibatkan aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit secara lebih terperinci.
(b) Mineral adalah terletak hak ke atas Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan kebenaran untuk mengusahakan suatu lombong mineral adalah tertakluk di bawah Enakmen Mineral Negeri. Secara asasnya, terdapat 2 lesen yang dikeluarkan oleh PBN untuk mengusahakan lombong mineral iaitu melalui Mining Lease (ML) atau Proprietary Mining Licence (PML) dan ia di kawal selia oleh Pentadbir Tanah Negeri.
Kementerian ini melalui Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bertanggungjawab untuk mengawal selia operasi tersebut selepas ML atau PML dikeluarkan agar menepati keperluan di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM) dan perundangan lain yang berkaitan. Dalam hal ini, JMG sentiasa melaksanakan pemantauan dan kawalan terhadap semua aktiviti lombong mineral agar operasinya tidak memberi impak negatif terhadap penduduk, alam sekitar dan harta benda.
Manakala bagi aspek pembelian dan penyimpanan bijih di Lynas juga tertakluk kepada suatu Lesen Mineral di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 (APM) melalui Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Pelesenan)(Pindaan) 2017. Peraturan ini memperuntukkan pihak pengusaha perlu mengemukakan suatu Pelan Pengurusan Penyimpanan yang mengandungi kawalan / mitigasi pencemaran alam sekitar, rancangan pemantauan, pengendalian sisa pepejal, pembuangan efluen dan pelepasan gas.
Sekian, terima kasih.