Tuan yang di-Pertua,
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli sentiasa prihatin terhadap isu pemuliharaan biodiversiti marin terutamanya perairan yang telah diwartakan sebagai taman laut. Namun demikian, ancaman pencemaran daripada pembangunan merupakan isu yang berada di luar bidang kuasa Jabatan Taman Laut Malaysia, Kementerian Air, Tanah, dan Sumber Asli. Pembangunan di daratan adalah di bawah kawalan Pihak Berkuasa Tempatan. Namun, Kementerian saya melalui Jabatan Taman Laut Malaysia sentiasa peka terhadap cadangan pembangunan baru dan memberikan input dan nasihat teknikal kepada Pihak Berkuasa Tempatan serta agensi-agensi Kerajaan lain yang berkaitan. Usaha-usaha Kementerian juga termasuk:
1. Kawalan pembangunan melalui memandatorikan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Pembentukan Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) di Pulau yang mana perairannya diwartakan sebagai taman laut.
2. Memberikan input teknikal dan menekankan kepentingan sistem pelupusan sisa pepejal dan kumbahan yang efektif untuk mengurangkan ancaman pencemaran daratan ke atas terumbu karang.
3. Membangunkan Environmental Best Practices Booklet pada tahun 2012.
4. Mempromosikan amalan terbaik aktiviti selam SCUBA melalui program Green Fins sejak tahun 2014.
5. Melaksanakan program pengingkatan habitat melalui penenggelaman kapal sebagai tapak selam alternatif untuk mengurangkan tekanan penyelam skuba di kawasan terumbu karang semulajadi.
6. Melaksanakan Program Restorasi Karang di Taman Laut sebagai usaha untuk memulihkan kawasan karang yang mengalami kemusnahan sejak tahun 2012.
7. Memantau kualiti air sungai dan air laut serta tahap kesihatan terumbu karang pada setiap tahun serta
8. pembersihan kawasan pantai dan terumbu karang (beach and reef clean up) pada setiap tahun.
9. Melaksanakan program pendidikan dan kesedaran awam.
Usaha-usaha Kementerian melalui Jabatan Taman Laut Malaysia telah membuahkan hasil di mana, litupan karang hidup pada tahu 2017 di Taman Laut adalah lebih tinggi dari kawasan yang tidak dilindungi iaitu 52.17% berbanding 31.98% (perbezaan sebanyak 20.19%) walaupun menerima kedatangan pelancong yang tinggi. Ini adalah salah satu indikator bahawa pengurusan taman laut adalah efektif dan mampu menjana ekonomi negara secara lestari.
Sekian, terima kasih.