Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 September 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

21

Soalan

​TUAN AKNAN EHTOOK minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah kemajuan usaha Kementerian untuk membantu memulihkan masalah bekalan air di negeri Kelantan.

Jawapan


​Tuan Yang di-Pertua,

1. Faktor-faktor utama yang menyumbang kepada situasi bekalan air di Kelantan yang berada dalam keadaan yang tidak memuaskan berbanding dengan negeri-negeri lain ialah kadar air tidak terhasil, atau non-revenue water (NRW), dengan izin, antara yang tertinggi iaitu 49.3% (2017) berbanding purata nasional 35.3%. Selain itu, kekurangan dan kemerosotan sumber air mentah yang agak ketara berpunca daripada pembukaan tanah-tanah baru bagi tujuan pertanian dan juga pembalakan, menyebabkan kemerosotan kualiti sumber air terutamanya air sungai.

2. Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan 1.7 juta penduduk Kelantan mendapat akses kepada bekalan air bersih dan berkualiti. Ini termasuk:
(i) Program Pengurangan NRW Kebangsaan (2018-2020) bagi menangani masalah NRW dengan fokus kepada kerja-kerja pemasangan meter System Input Volume (SIV), penggantian meter pengguna, pembaikan tangki-tangki dan penyediaan

3. Geographic Information System (GIS) dengan peruntukan berjumlah RM69.95 juta;

(ii) Meningkatkan kapasiti loji bekalan air terawat seperti menaik taraf LRA Kg. Chap, LRA Panggong Lalat, LRA Merbau Chondong dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM199.7 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Ke-10 dan Ke-11;

(iii) Kajian Pembangunan Sumber Air Kelantan melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta di bawah Rolling Plan 1 (2016), RMKe-11; dan

(iv) Pembiayaan berjumlah RM451.68 juta bagi kerja-kerja perbelanjaan modal (CAPEX) oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) bagi tempoh Operasi Ketiga (OP3) (2018-2020) bagi meningkatkan infrastruktur bekalan air termasuklah pembinaan loji rawatan air, naik taraf loji rawatan air, penggantian paip dan pembinaan kolam takungan dan sebagainya. Antara projek-projek utama yang akan dilaksanakan oleh PAAB adalah:

(a) menaik taraf dan membaik pulih LRA Bukit Chupak di Gua Musang dengan anggaran kos sebanyak RM16 juta;

(b) menaik taraf dan membaik pulih LRA Tanjung Mas, Kota Bharu dengan anggaran kos sebanyak RM49.95 juta; dan

(c) menaik taraf dan membaik pulih LRA Chicha Fasa 2 dengan anggaran kos sebanyak RM70 juta.

 Di samping itu, agensi-agensi Kerajaan Persekutuan lain seperti East Coast Economic Regional Development Council (ECERDC), Kementerian Pembangunan Luar Bandar, FELDA dan KESEDAR turut membiayai beberapa pembinaan loji rawatan air dan kerja naik taraf loji rawatan air seperti LRA Kg. Telok, LRA Tualang, LRA Tendong, LRA Kelar Fasa 2 dan RKT Chalil melibat peruntukan berjumlah RM87.2 juta.

Sekian, terima kasih.


Attachments