Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 September 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

52

Soalan

​​DATUK LEE TIAN SING minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah inisiatif konkrit oleh Kementerian untuk menaik taraf sistem bekalan air dan sistem pengepaman air untuk mengelakkan berlakunya krisis bekalan air.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan rakyat mendapat bekalan air bersih yang mencukupi dan berterusan. Peruntukan berjumlah RM990.4 juta disediakan di bawah Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK10) dan meningkat kepada RM12.5 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke Sebelas (RMK11) bagi membangunkan infrastruktur bekalan air di seluruh negara sama ada secara pinjaman ataupun geran. Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) juga turut menyediakan peruntukan pinjaman bagi pembangunan infrastruktur air bagi negeri-negeri yang telah menstrukturkan industri bekalan air.

Bagi memastikan gangguan bekalan air dapat dielakkan, tumpuan diberikan melalui perancangan dan pelaksanaan projek infrastruktur bekalan dan sumber air supaya kadar rizab margin air di setiap negeri mencapai 10% sehingga 15%. Dalam tempoh RMK10 dan RMK11, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah dan sedang melaksanakan beberapa projek pembangunan sumber air, antaranya adalah seperti berikut :
(i) pembinaan kolam takungan di Loji Rawatan Air Sg Labu, Selangor bernilai RM9 juta dan siap pada Disember 2011;
(ii) Projek Pemindahan Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) bernilai RM3.9 bilion yang telah siap sepenuh pada Julai 2015;
(iii) pembinaan Baraj Sungai Johor bernilai RM96 juta dan siap sepenuh pada 30 Mac 2017;
3
(iv) pembinaan Empangan Kahang di Johor bernilai RM105 juta dan siap pada September 2017; dan
(v) pembesaran Empangan Mengkuang di Pulau Pinang bernilai RM1,232,700,000 yang dijangka akan siap sepenuh pada November 2018;

Selain itu, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli juga sedang melaksanakan Program Pengurangan NRW Kebangsaan (2017-2020) dengan sasaran pengurangan NRW daripada 35.5% pada tahun 2016 kepada 31% pada tahun 2020 melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.8 bilion. Fokus diberikan kepada skop kerja melibatkan kerja-kerja khusus seperti pemasangan meter System Input Volume (SIV) baharu, penggantian meter pengguna yang rosak dan berusia lebih 7 tahun, pembaikan tangki-tangki air yang bocor dan penyediaan Geographical Information System (GIS).

Tuan Yang di-Pertua,
Sejak tahun 2010 hingga 2017, PAAB juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM3.76 bilion bagi membiayai pelaksanaan 675 pakej projek bekalan air di Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kelantan. Dalam hal ini, mekanisme pembiayaan PAAB turut menyumbang kepada peningkatan akses kepada bekalan air dari 91.2% pada 2010 kepada 92.8% pada 2017.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air negara turut meletakkan obligasi ke atas operator bekalan air untuk meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan kewangan dalam penyediaan bekalan air kepada pengguna. Dalam hal ini, operator air dikawal selia termasuk dari
4
aspek seperti kuantiti dan kualiti bekalan, NRW, kesinambungan bekalan air, liputan bekalan air, tekanan air dan kompetensi.

Sekian, terima kasih.​

Attachments