Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

24 July 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

72

Soalan

​​​​Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah tindakan terhadap aktiviti pembalakan yang dikesan berlaku di kawasan tadahan Ulu Muda, Kedah. Bilakah ia akan diwartakan sebagai kawasan tadahan air yang penting bagi negeri-negeri utara Semenanjung.

Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

Pengurusan hutan mengkelaskan kawasan Hutan Simpan Kekal kepada 12 fungsi kelas sepertimana digariskan oleh Akta Perhutanan Negara 1984. Bagi aktiviti pengusahasilan ianya hanya dijalankan di dalam hutan yang dikhaskan untuk tujuan pengeluaran. Manakala bagi lain-lain fungsi hutan dikelaskan di bawah Hutan Perlindungan. Salah satu fungsi kelas yang dikategorikan di bawah Hutan Perlindungan ialah Hutan Tadahan Air. Bagi memastikan kawasan tadahan air ini dilindungi, dipelihara dan diuruskan secara terbaik melalui amalan pengurusan hutan secara berkekalan, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mewartakan kawasan hutan yang telah dikenal pasti sebagai Hutan Tadahan Air mengikut keperluan seksyen 10(1)(e) Akta Perhutanan Negara 1984. Sehingga kini, seluas 729,550 hektar kawasan HSK telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air.

Tuan Yang di-Pertua,

Kawasan Empangan Muda terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dan Hutan Simpan Bukit Saiong, Negeri Kedah. Pihak Kerajaan Negeri sama sekali tidak melaksanaan aktiviti pembalakan dalam kawasan hutan tadahan air. Aktiviti pembalakan hanya dilaksanakan di kawasan hutan pengeluaran. Jabatan Perhutanan Negeri juga telah mewarta dan mengekalkan Hutan Simpan Ulu Muda seluas 106,418 hektar dan Hutan Simpan Bukit Saiong seluas 8,191 hektar sebagai Hutan Simpanan Kekal dibawah seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

Daripada keluasan Hutan Simpanan Kekal tersebut, seluas 12,484 hektar daripada keluasan Hutan Simpan Ulu Muda diwartakan sebagai kawasan hutan tadahan air di bawah seksyen 10(1)(e), Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) pada 13 Mac 2008. Manakala seluas 6,266 hektar daripada keluasan Hutan Simpan Bukit Saiong telah dikenalpasti untuk dijadikan sebagai cadangan hutan tadahan air.

Pihak Jabatan Perhutanan Negeri juga meningkatkan aktiviti penguatkuasaan dan pemantauan ke atas aktiviti pembalakan yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri dalam kawasan hutan yang dikelaskan sebagai Hutan Pengeluaran Kayu di bawah Perolehan Berkekalan seksyen 10(1) (a) Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) agar pelesen mematuhi syarat-syarat lesen dan keperluan dan peraturan di bawah standard Kriteria dan Petunjuk Malaysia (Malaysia Criteria and Indicator - MC&I) yang menekankan pengawalan kestabilan alam sekitar, pengekalan kualiti sumber air dan kesejahteraan kehidupan masyarakat setempat.

Sekian, terima kasih.

Attachments