Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

25 July 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

28

Soalan

Tuan Shaharizukirnain bin Abd. Kadir [Setiu] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah keberkesanan aspek kawalan dan penguatkuasaan terhadap aktiviti pembalakan di seluruh negara khususnya di Sabah, Sarawak dan Pahang.

Jawapan

​Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah mengambil beberapa langkah sebagai usaha mengawal aktiviti pengusahasilan hutan atau lebih dikenali di kalangan masyarakat umum sebagai “pembalakan”. Antara aspek kawalan yang dilaksanakan pada masa kini termasuklah:

i. Pembukaan Kawasan/ Perlesenan
Pembukaan kawasan atau perlesenan dikawal melalui penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) iaitu keluasan kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti pengusahasilan setiap tahun bagi setiap negeri. Penetapan CTT dibuat bagi setiap tempoh Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara dan diputuskan dalam Majlis Tanah Negara (MTN) setiap lima (5) tahun mengikut rancangan. Sementara pengiraan dibuat dengan mengambil kira keupayaan pemulihan semulajadi (natural regeneration capacity) kawasan yang diusahasil.

ii. Kawalan Pengusahasilan
Beberapa garis panduan telah dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan untuk dijadikan panduan dalam mengawal aktiviti pengusahasilan yang dijalankan tidak melebihi batas-batas yang dibenarkan serta tidak meninggalkan kesan yang serius terhadap dirian hutan dan alam sekitar. Setiap aktiviti pengusahasilan dikawal berpandukan garis panduan yang disediakan dalam Manual Perhutanan. Selain itu, beberapa garis panduan juga disediakan termasuklah “Guideline for Reduced Impact Logging”, Garis Panduan Jalan Hutan, Kod Amalan Pengusahasilan Hutan Darat Asli Semenanjung Malaysia serta beberapa garis panduan lain yang berkaitan. Pematuhan kepada garis-garis panduan dipantau secara berkala dalam urusan perlesenan dan pengusahasilan.

iii. Kawalan Kualiti Air Sungai.
Pihak Kementerian menyedari hakikat bahawa kualiti dan kuantiti air sering kali dikaitkan dengan aktiviti pembalakan. Pihak kementerian melalui Jabatan Perhutanan telah menjalankan pemantauan kualiti air dengan mewujudkan stesen-stesen tetap hidrologi bagi memantau kualiti air sungai. Stesen pemantauan bukan sahaja ditubuhkan di kawasan HSK yang dikategorikan sebagai Hutan Tadahan Air, malahan ianya juga merangkumi kawasan hutan pengeluaran.

iv. Kawalan Isipadu Setiap kawasan lesen atau pengusahasilan ditetapkan had isipadu kayu balak yang dibenarkan untuk diusahasil. Penetapan jumlah isipadu ini ditentukan selepas mengambilkira keupayaan pemulihan sesuatu hutan bagi tujuan menjamin pengeluaran untuk pusingan tebangan akan datang.
Hasil daripada kawalan dan pemantauan rapi oleh pihak Jabatan yang bertanggungjawab iaitu Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan juga Jabatan Perhutanan Negeri menunjukkan bahawa keluasan kawasan yang diusahasil masih di bawah kawalan seperti mana berikut:


Jadual: Keluasan kawasan usahasil dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi bagi tempoh RMK-10 (2011- 2015) dan RMK-11 (2016-2018)
Tempoh Rancangan Malaysia CatuanTebangan Tahunan (ha) Diluluskan Diusahasil
RMK-10 (Tahun 2011-2015)
201,670
173,095
RMK-11 (Tahun 2016- Jun 2018)
209,440
92,033

Kawalan pematuhan terhadap garis-garis panduan yang disediakan telah memacu kepada kejayaan serta kesan positif di mana Jabatan Perhutanan di enam Negeri yang terdiri dari Negeri Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Selangor dan Terengganu berjaya mengekalkan Sijil Pengurusan Hutan Secara Berkekalan. Sementara rekod pemantauan kualiti air sungai yang kawal selia oleh Jabatan Perhutanan menunjukkan kualiti air sungai dalam HSK adalah pada kualiti I dan II. Ini menunjukkan aktiviti pengusahasilan yang dijalankan sebenarnya tidak meninggalkan kesan yang serius terhadap kualiti air dalam HSK. Dalam masa yang sama, rekod-rekod pengeluaran kayu balak yang ada di Jabatan adalah di bawah kawalan.

Tuan Yang di-Pertua,

Pihak Kementerian sedar bahawa tindakan penguatkuasaan melalui kaedah yang amalkan terdahulu seperti rondaan dilapangan ada kelemahannya. Kemajuan teknologi semasa juga perlu dimanfaatkan sewajarnya dalam penguatkuasaan undang-undang hutan. Selain dari memperkasakan Bahagian Penguatkuasaan dan penubuhan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Pihak kementerian juga telah melipatgandakan aktiviti penguatkuasaan termasuk aktiviti risikan, rondaan berkala di kawasan-kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot dan pemantauan udara dengan menggunakan helikopter. Di samping itu, penggunaan teknologi UAV atau dron juga telah digunakan dalam operasi penguatkuasaan.

Dalam masa yang sama, Jabatan Perhutanan telah menubuhkan JPSM ELITE TEAM (JET) sebagai satu langkah mengimbangi masaalah kekurang kakitangan dan juga logistik. Pada masa ini, Pasukan JET dianggotai oleh 50 pegawai pelbagai peringkat dari Ibu Pejabat, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan juga Jabatan Perhutanan Negeri.
Dengan tindakan-tindakan yang dirancang dengan lebih tersusun, serta bantuan kemajuan teknologi semasa seperti yang dinyatakan tersebut, pihak jabatan telah berjaya mengesan lebih banyak kes-kes kesalahan hutan yang dahulu tidak mampu dikesan dengan kaedah biasa.

Sekian, terima kasih.​

Attachments