Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 July 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

69

Soalan

Dato’ Haji Ahmad Nazlan bin Idris [Jerantut] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan Adakah Kementerian berhasrat meminda Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan 1993) bagi memperluaskan kuasa penguatkuasaan dan hukuman yang lebih setimpal dapat dikenakan terhadap pesalah-pesalah bagi membendung jenayah alam sekitar ini.​

Jawapan

​​​

Tuan Yang di-Pertua,

1) Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) telah meneliti keperluan untuk menambahbaik pentadbiran, pengurusan dan pemeliharaan hutan dan pembangunan perhutanan di Semenanjung Malaysia dengan membuat semakan semula kepada Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Semakan semula ini telah bermula dari tahun 2009 setelah pindaan kali pertama pada tahun 1993.
2) Rang Undang-Undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2009 yang telah diluluskan oleh Jabatan Peguam Negara telah dibentangkan di Mesyuarat Majlis Perhutanan Negara (MPN) Ke-22 pada 24 November 2009. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang masih perlu ditambahbaik terutama perkara-perkara yang melibatkan keputusan dasar menyebabkan RUU Perhutanan Negara (Pindaan) 2009 ditangguhkan sehingga kini dimana beberapa peruntukan dicadang untuk diperkenalkan sebelum ia dibawa ke peringkat parlimen.
3) Tujuan pindaan Akta 313 adalah :-
i) untuk memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK);
3
ii) untuk memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan secara haram;
iii) untuk meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar; dan
iv) untuk mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
4) Kajian semula dan penambahbaikan ke atas Akta 313 dilaksanakan supaya sektor perhutanan bergerak seiring dengan perkembangan semasa yang mencakupi aspek-aspek pencegahan pengambilan hasil hutan secara haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan serta pengukuhan pembangunan sektor perhutanan negara. Selain itu, langkah ini juga dapat memperkasa aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi yang akan dapat mempergiatkan aktiviti ekopelancongan pada masa akan datang.

Sekian, terima kasih.​


Attachments