Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

31 July 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

72

Soalan

YB Tuan Chan Ming Kai minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sama ada bil Indah Water akan dihapuskan dan tunggakan sedia ada akan dibatalkan.​

Jawapan

​​

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) tidak bercadang untuk menghapuskan bil pembetungan oleh Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) dan membatalkan tunggakan bil pembetungan. Perkhidmatan pembetungan yang disediakan oleh IWK merupakan fasiliti asas yang diperlukan oleh setiap penduduk, dan yang lebih penting dari itu ialah untuk memastikan alam sekitar bersih di samping memelihara dan memulihara sumber air daripada sebarang pencemaran daripada sisa air kumbahan tidak terawat.
Kepentingan perkhidmatan pembetungan yang disediakan IWK juga ada hubung kait yang rapat dengan kesihatan dan sanitasi awam. Air sisa kumbahan dari loji pembetungan yang tidak dirawat akan mencemarkan sumber air yang kemudian dirawat menjadi air minum. Ketiadaan sistem rawatan pembetungan yang cekap seperti yang disediakan oleh IWK sudah tentu menyebabkan penyakit bawaan air akan merebak sehingga boleh mengancam nyawa manusia.
Namun begitu majoriti daripada kita hanya dikenakan antara RM2 hingga RM8 sebulan bagi mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh IWK. Bil ini terhad kepada perkhidmatan bersambung oleh IWK sahaja, dan tidak termasuk rumah kediaman atau premis yang mempunyai tangki septik individu masing-masing. Bil yang dikenakan IWK hanya mewakili kira-kira 25.7% (kategori domestik sahaja) daripada keseluruhan kos perbelanjaan oleh IWK. Defisit kos ini ditanggung oleh Kerajaan melalui pemberian subsidi bagi membolehkan IWK terus menyediakan perkhidmatan pembetungan terbaik kepada rakyat.


Tuan Yang di-Pertua,

Kesedaran orang ramai terhadap perkhidmatan pembetungan yang disediakan oleh IWK masih rendah. Ini kerana perkhidmatan yang diberikan oleh IWK tidak nampak pada mata kasar, atau unseen, dengan izin. Tetapi ini tidak bermakna tiada perkhidmatan diberikan oleh IWK kerana sistem pengumpulan air sisa kumbahan berlaku di bawah tanah, atau under-ground, dengan izin, sebelum disalurkan ke loji rawatan kumbahan. Hakikatnya ialah air basuhan, mandian, cucian dan sebagainya yang kita hasilkan dikumpul dan dirawat oleh IWK.
Faktor ini menjejaskan kutipan bil pembetungan oleh IWK, sekaligus menyebabkan tunggakan bil meningkat saban tahun. Sehingga 30 Jun 2018, RM867.3 juta tunggakan yang masih belum dibayar kepada IWK, di mana 60% (RM 521 juta) terdiri daripada pengguna domestik, 36% (RM316 juta) pengguna komersial dan 4% (RM30 juta) mewakikli lain-lain kategori pengguna.

Sekian, terima kasih.​


Attachments