Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

01 August 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Air

Nombor Soalan

28

Soalan

Dato' Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali [ Bagan Serai ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha penambahbaikan kepada rancangan tebatan banjir yang Kementerian akan buat untuk kurangkan masalah banjir yang masih berlaku.​

Jawapan

​​

Tuan Yang di-Pertua,

 

Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah melaksanakan beberapa langkah bagi penambahbaikan kepada rancangan tebatan banjir untuk mengurangkan masalah banjir yang masih berlaku. Selain langkah struktur seperti tebatan banjir, JPS juga melaksanakan langkah bukan struktur seperti berikut;

 

1.    Menyediakan dan mengemaskini garis panduan-garis panduan reka bentuk seperti Manual Saliran Mesra Alam (MSMA). MSMA adalah satu garis panduan dengan konsep tahanan dan takungan air larian hujan dalam pengurusan air larian hujan dalam menyelesaikan masalah banjir di negara ini. Contohnya seperti pembinaan kolam sebagai takungan dan on site detention (OSD);

 

2.    Perancangan Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP) di peringkat perancangan pembangunan serta penguatkuasaan Pelan ESCP dalam kerja-kerja pembukaan tanah dapat mengurangkan pemendapan kelodak dalam sungai yang mengakibatkan banjir.

 

3.    Penyediaan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) iaitu satu kajian pelan induk saliran yang menggunakan konsep MSMA.

 

 

4.    Menjalankan penyelidikan penggunaan Mobile Flood Wall Barrier (MFWB) di kawasan-kawasan yang tertentu di kawasan bandar, iaitu salah satu kaedah struktur bukan tetap perlindungan banjir yang telah dipraktikan secara meluas dan sebagai tebatan banjir baris kedua (second-line flood defends) yang berjaya dipraktikkan di luar negara seperti di Cologn, German, USA dan Singapura;

 

5.    Penyediaan pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) bagi 25 buah lembangan sungai utama di Malaysia bagi mengawal aktiviti-aktiviti pembangunan di dalam lembangan sungai yang berkenaan yang boleh mengurangkan risiko banjir; dan

 

6.    Menjalankan kajian komprehensif sebelum sesuatu projek rancangan tebatan banjir dilaksanakan.

​Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli  melalui Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sedang menjalankan penyelidikan pelan pembangunan dan pengurusan lembangan sungai bagi 13 lembangan sungai terpilih mengikut peruntukan yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia ke-11. Antara tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengurangkan masalah banjir selain daripada menangani masalah pencemaran. Pelan pembangunan dan pengurusan lembangan yang dibangunkan ini akan digunakan sebagai asas kepada perancangan pembangunan dan aktiviti guna tanah yang mapan.

 

 

Selain itu, NAHRIM juga telah membangunkan produk inovasi seperti NAHRIM Invisible Levee System (NAILS) bagi menahan limpahan air banjir ke atas fasiliti kepentingan awam seperti hospital, pusat jana kuasa, telekomunikasi dan rawatan air, dan pusat pemindahan banjir. NAHRIM bersama-sama JPS sedang menambahbaik produk  ini agar mudah alih dan senang dipasang serta  sesuai untuk perlindungan di pintu kediaman individu bangunan-bangunan kerajaan seperti klinik kesihatan, balai polis atau sekolah.

 

Sekian, terima kasih.


Attachments