Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

09 August 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

3

Soalan

Tuan Wong Tack [ Bentong ] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan pendirian terhadap penggunaan “cyanide” di dalam perlombongan emas dan bolehkah kita mengharamkannya​

Jawapan

​​

Tuan Yang di- Pertua,

Larutan sianida (sodium cyanide) di dalam industri perlombongan emas di Malaysia telah sekian lama digunakan dalam proses pengekstrakan dan pemprosesan bijih emas. Berdasarkan rekod, terdapat 18 buah lombong emas aktif di Malaysia yang mana 3 daripada lombong tersebut penggunakan larutan sianida dan selebihnya tidak menggunakan larutan tersebut. Secara umumnya, larutan sianida hanya akan digunakan sebagai, dengan izin reagent pelerai untuk mengasingkan bijih emas yang terdapat di dalam batuan keras (hard rock mining) sepertimana yang dilakukan di 3 buah lombong tersebut. Manakala, bagi lombong yang tidak menggunakan larutan sianida aktiviti perlombongannya hanya melibatkan pengekstrakan atau pengumpulan emas halus yang berada di dalam tanah longgar atau laluan sungai dan telah terlerai akibat proses luluhawa semulajadi.

Penggunaan larutan sianida di peringkat antarabangsa juga telah lama dan masih digunakan sehingga kini di dalam aktiviti perlombongan emas termasuk negara maju dalam perlombongan emas seperti Australia dan Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, penggunaan bahan tersebut perlu mengikut standard dan piawaian yang ditetapkan di peringkat antarabangsa dan kebangsaan. Di peringkat Antarabangsa, perlombongan emas batuan keras (hard rock mining) yang menggunakan larutan sianida adalah tertakluk kepada International Cyanide Management Code (Cyanide Code) yang mana syarikat perlombongan emas batuan keras di Malaysia turut mengguna pakai sebagai rujukan dalam mengawalselia proses pengekstrakan emas di loji heap leaching masing-masing. Manakala, di peringkat Malaysia pula, aktiviti tersebut dikawalselia melalui Akta Pembangunan Mineral 1994 melalui Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016. Jadual di bawah Peraturan 4 Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 menetapkan had pelepasan efluen yang dibenarkan bagi sianida adalah tidak melebihi 0.2 mg/L (0.2 ppm).

Dalam aspek pengawalseliaan, aktiviti perlombongan emas di Malaysia perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan dalam Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme - OMS) sebagaimana yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Skim Pengendalian Melombong, Pelan dan Buku Rekod) 2007 di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994. Selain itu, pengusaha turut diwajibkan untuk mengemukakan laporan pematuhan efluen secara berkala kepada JMG bagi memastikan isu pencemaran akibat penggunaan larutan sianida atau bahan lain tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat. Jabatan Mineral dan Geosains sentiasa mengawalselia dan memastikan semua standard-standard dipatuhi dan sepanjang pemantauan dilaksanakan ketiga-tiga lombong yang menggunakan larutan sianida tersebut didapati mematuhi semua standard yang telah ditetapkan.

Pada masa ini, kaedah alternatif terhadap penggunaan sianida dalam industri perlombongan kebanyakannya masih lagi di peringkat kajian dan belum ada sebarang penggunaan secara komersil serta hakikat bahawa kaedah alternatif tersebut melibatkan kos operasi yang terlalu tinggi berbanding kaedah penggunaan sianida. Oleh itu, sebelum sebarang langkah pengharaman penggunaan sianida dilaksanakan oleh pihak
Kerajaan, maka adalah wajar sekiranya suatu perancangan penggunaan kaedah alternatif dibincangkan secara teknikal dengan lebih terperinci lagi di samping meningkatkan sumber bagi memantapkan keupayaan penguatkuasaan operasi perlombongan yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Mineral dan Geosains.

Sekian, terima kasih.​


Attachments