Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

22 October 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

23

Soalan

PUAN RUSNAH BINTI ALUAI minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan bagaimana Kementerian memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih dan terawat bagi mencapai sasaran sebanyak 99% penduduk akan memperoleh air bersih dan terawat menjelang tahun 2020.​

Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

1. Bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air bersih dan terawat sebanyak 99% seperti mana yang disasarkan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) memberi penekanan kepada 3 fokus utama:

(i) Peningkatan kapasiti pengeluaran oleh loji rawatan air (LRA) melalui kerja-kerja pembinaan LRA baharu, baik-pulih dan naik taraf LRA, pembinaan rangkaian paip pengagihan dan tangki simpanan sama ada melalui peruntukan pinjaman Kerajaan Persekutuan, peruntukan kerajaan negeri dan pembiayaan oleh Pengurusan Air Aset Berhad (PAAB);

(ii) Program pengurangan kadar air tidak terhasil, dengan izin non-revenue water – NRW, di mana melalui cara ini terdapat lebihan air terawat untuk diagihkan kepada pengguna. Program ini dibiayai sama ada melalui peruntukan geran dan 
pinjaman Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PAAB; dan

(iii) Pengurangan kadar penggunaan per kapita dari 209 liter/ sehari kepada 200 liter/sehari menjelang 2020. Langkah ini akan disokong melalui inisiatif penggunaan produk cekap air, kempen kesedaran penjimatan air dan pelaksanaan ‘punitive tariff regime’ di mana caj air yang lebih tinggi dikenakan ke atas sesetengah jalur penggunaan air bagi mengelakkan pembaziran air. Melalui cara ini, lebihan air terawat dapat diagihkan ke kawasan yang memerlukan bekalan air.

Tuan Yang di-Pertua,

2. Selain itu, beberapa Kementerian dan agensi lain turut bertanggungjawab dalam perbekalan air terawat seperti Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Malaysia (JAKOA).

Sekian, terima kasih.​


Attachments