YBTM JAWAB BERSEKALI
Tuan Yang di- Pertua,
Saya mohon untuk soalan ini dijawab bersekali dengan soalan YB Dato’ Sri Dr. Haji Wan Junaidi Bin Tuanku Jaafar [Santubong] pada 27 November 2018 berkaitan dengan dasar dan perundangan hutan Semenanjung Malaysia.
Tuan Yang di- Pertua,
Ketiga-tiga Akta ini iaitu :-
i) Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]
ii) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716); dan
iii) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (di bawah Kementerian
Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim).
adalah dalam proses semakan semula bagi menambah baik pentadbiran, pengurusan dan memperkukuhkan kerja-kerja penguatkuasaan yang lebih efektif dan relevan. Antara tujuan utama penambahbaikan Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) adalah untuk :-
(i) Memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK);
(ii) Memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan secara haram;
(iii) Meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar; dan
(iv) Mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
Kementerian berharap cadangan pindaan ini dapat membantu membendung pengambilan hasil hutan secara haram, pelaksanaan aktiviti pemeliharaan dan pemuliharaan hutan yang lebih berkesan serta mengukuhkan pembangunan sektor perhutanan negara.
Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kementerian telah menggantikan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 (Akta 76) kepada Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang diwartakan pada 4 November 2010 dan dikuatkuasakan sepenuhnya pada 28 Disember 2010. Buat masa ini Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) ini juga dalam proses pindaan bagi memperkasa pelaksanaannya.
Bagi Akta Kualiti Alam Sekeliling (EQA) 1974, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) juga dalam semakan terkini bagi memperkukuh, dan memantapkan kerja penguatkkuasaan yang lebih efektif dan relevan.
Sekian, terima kasih.