Tuan Yang di-Pertua,
Penggunaan larutan sianida telah lama digunakan secara meluas di peringkat antarabangsa termasuk Malaysia.
Dalam konteks ini, Kerajaan menetapkan penggunaan larutan sianida dalam perlombongan emas perlu mengikut standard antarabangsa dan kebangsaan. Di peringkat Antarabangsa, perlombongan emas batuan keras (hard rock mining) yang menggunakan larutan sianida adalah tertakluk kepada International Cyanide Management Code (Cyanide Code) yang mana syarikat perlombongan emas batuan keras di Malaysia turut mengguna pakai sebagai rujukan dalam mengawalselia proses pengekstrakan emas di loji heap leaching masing-masing.
Dari sudut undang-undang pula, aktiviti tersebut dikawalselia melalui Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Efluen) 2016 di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994. Jadual di bawah Peraturan-peraturan tersebut menetapkan had pelepasan efluen yang dibenarkan bagi sianida adalah tidak melebihi 0.2 mg/L (0.2 ppm).Oleh itu, Kerajaan tidak bercadang untuk membuat kajian berhubung penggunaan sianida dalam perlombongan emas.
Tuan Yang di-Pertua,
Berhubung dengan langkah kawalan alam sekitar, aktiviti perlombongan emas di Malaysia perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan dalam Skim Pengendalian Melombong (Operational Mining Scheme - OMS) sebagaimana yang dikehendaki di bawah Peraturan-Peraturan Pembangunan Mineral (Skim Pengendalian Melombong, Pelan dan Buku Rekod) 2007 di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994.
Selain itu, pengusaha turut diwajibkan untuk mengemukakan laporan pematuhan efluen secara berkala kepada JMG bagi memastikan isu pencemaran akibat penggunaan larutan sianida atau bahan lain tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat. Jabatan Mineral dan Geosains sentiasa Mengawalselia dan memastikan semua standard-standard dipatuhi dan sepanjang pemantauan dilaksanakan kesemua lombong yang menggunakan larutan sianida didapati mematuhi semua standard yang telah ditetapkan.Di samping itu, jabatan lain seperti Jabatan Alam Sekitar juga memantau perjalanan perlombongan emas dalam aspek alam sekitar seperti kualiti air dan udara.
Sekian, terima kasih.