Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

12 November 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Air

Nombor Soalan

9

Soalan

​​​DATUK LIEW CHIN JIN @ CHRISTINA LIEW [TAWAU] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan:-

(a) adakah kajian terperinci terhadap keperluan untuk meningkatkan kapasiti bekalan air di daerah Tawau telah dilaksanakan serta langkah-langkah selanjutnya yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak Kementerian bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air tersebut; dan

(b) apakah status pelaksanaan Projek Bekalan Air Luar bandar (BALB) Kg. Bukit Quoin dan Jalan Ranggu/Baradaya, Tawau.


Jawapan


Tuan Yang di-Pertua,

1. Untuk makluman, kajian terperinci terhadap keperluan bekalan air di daerah Tawau telah dilaksanakan sejak Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMKe-9). Kajian tersebut mencadangkan pembinaan sebuah empangan bagi meningkatkan ‘yield’ Sungai Tawau sedia iaitu 13 JLH berbanding dengan kapasiti loji berjumlah 147 JLH. Di samping menghadapi masalah bekalan air terutamanya sewaktu musim kemarau, bandar Tawau juga sering dilanda banjir semasa musim hujan akibat dari limpahan air sungai Tawau.
2. Oleh itu, pembinaan Empangan Tawau yang merupakan komponen utama di bawah Skim Bekalan Air Tawau Fasa III telah dilaksanakan di dalam Rolling Plan 1, Rancangan Malaysia ke-11 (RP1 RMKe-11) dengan peruntukan berjumlah RM450.5 juta melalui pinjaman Kerajaan Persekutuan. Projek ini telah dimulakan pada 26 Disember 2017 dan dijangka mengambil masa selama 36 bulan untuk disiapkan iaitu pada 26 Disember 2020.
3. Dengan kapasiti sebanyak 30 juta meter padu (MCM), Empangan Tawau dapat menyediakan sumber bekalan air daerah Tawau
3
sehingga tahun 2050 dan sebanyak 4.6 MCM untuk takungan banjir dan kawal aliran sungai sehingga 200m3/s bagi tujuan kawalan banjir.
4. Walau bagaimanapun, projek ini telah diangkat ke Contract Coordination Panel (CCP) Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) pada 27 Ogos 2018 kerana kemajuan projek kurang daripada 10 peratus. Pada masa yang sama, Jabatan Air Negeri Sabah telah membuat keputusan untuk menamatkan kontrak projek ini. Walau bagaimanapun, pihak Kementerian masih menunggu keputusan muktamad daripada Kementerian Kewangan untuk halatuju projek ini samada untuk meneruskan penamatan kontrak sedia ada dan melaksanakan proses tender baru ataupun meneruskan projek dengan kontrak yang sedang berjalan.
Tuan Yang di-Pertua,
5. Untuk makluman, Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kg. Bukit Quoin dan Jalan Ranggu/Baradaya, Tawau merupakan projek bawah bidang kuasa Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Sekian, terima kasih.​

Attachments