Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

14 November 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

47

Soalan

​Dato' Hasbullah Bin Osman [Gerik] Minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha pemuliharaan semula hutan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian bersama kerajaan negeri berkaitan isu penerokaan hutan simpan yang tidak terkawal agar dapat dibendung serta bilakah pihak Kementerian akan melaksanakan Projek Sanctuary Gajah di kawasan Gerik akibat tangkapan gajah liar seluruh negeri Perak dilepas sekitar Hutan Royal Belum memberi ancaman agak berat di Daerah Gerik.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Dalam usaha memulihkan semula kawasan penerokaan hutan simpan yang tidak terkawal, Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) merancang untuk melaksanakan program-program berikut:
i. Program Pemulihan Kawasan Hutan Terosot (degraded) bagi memastikan pemuliharaan kawasan Hutan Simpanan Kekal yang terosot dan miskin di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia. Di bawah RMK-11 (2016-2020) sejumlah RM100 juta telah diluluskan untuk memulihkan kawasan seluas 1,640 hektar dalam Hutan Simpan Kekal dan juga luar Hutan Simpan Kekal di Semenanjung Malaysia.
ii. Program Kerjasama Strategik Penghijauan Semula kawasan bekas ceroboh/teroka di dalam dan luar Hutan Simpanan Kekal bersama-sama dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO), masyarakat setempat, sekolah-sekolah dan institusi pengajian tinggi dan juga beberapa rakan strategik KATS seperti Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam (PEKA), Sultan Ahmad Environmental Trust (SASET), Tropical Rain Forest Conservation and Research Centre (TRCRC), Malaysian Nature Society (MNS) dan Regional Environmental Awareness Cameron Highlands (REACH).
iii. Program Perhutanan Sosial bagi meningkatkan kesedaran kepada komuniti terhadap pemeliharaan hutan dengan meningkatkan penglibatan aktif komuniti dalam aktiviti-aktiviti perhutanan seperti pencegahan dan pengawalan pencerobohan hutan. Melalui program perhutanan sosial ini juga kesedaran komuniti akan dapat dipupuk bagi menjadikan mereka sebagai “rakan” dan “mata-mata” kepada Jabatan Perhutanan.
Menyentuh mengenai cadangan Projek Sanctuary Gajah di kawasan Gerik pula, ia telah dipersetujui secara prinsip oleh Kerajaan Negeri Perak. Pihak Kementerian dan Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelesaikan isu-isu pelaksanaan termasuk pengambilan tanah.

Sekian, terima kasih.​


Attachments