Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

03 December 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Tanah

Nombor Soalan

62

Soalan

Datuk Rabiyah Binti Ali minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah Kerajaan dapat memastikan dasar Kerajaan dalam meningkatkan Tanah Rizab Hutan yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan 1984 dapat mengekalkan kelestarian flora dan fauna di seluruh negara dan mendapat kerjasama Kerajaan-kerajaan Negeri.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan bahawa tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Perkara 91 (5) Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri hendaklah mengikuti dasar yang ditentukan oleh Majlis Tanah Negara (MTN). MTN telah ditubuhkan sebagai satu mekanisme penyelarasan dan perundingan dalam mewujudkan keputusan dasar yang bertujuan untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah di seluruh negara bagi maksud perlombongan, pertanian, perhutanan atau apa-apa maksud lain di antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan-kerajaan Negeri dan Majlis Kewangan Negara.
Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan dasar kerajaan terhadap pengekalan Tanah Rizab Hutan (Hutan Simpanan Kekal) sentiasa dilaksanakan. Seksyen 12, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) memperuntukan di mana Pihak Berkuasa Negeri hendaklah mengganti kawasan tanah yang dikeluarkan daripada Hutan Simpanan Kekal. Sehingga 31 Disember 2017, hutan simpanan kekal di Semenanjung Malaysia adalah seluas 4,811,226 hektar iaitu kira-kira 36% daripada keluasan tanah di Semenanjung Malaysia (13,209,065 hektar). Kawasan hutan simpanan kekal ini telah diwartakan di bawah Seksyen 7, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Keluasan hutan simpanan kekal telah meningkat sebanyak 23,968 hektar atau 0.5% bagi tempoh 10 tahun iaitu
3
pada tahun 2008 (4,787,253 hektar) sehingga tahun 2017 (4,811,226 hektar). Peningkatan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan dalam meningkatkan keluasan hutan Simpanan kekal yang sedia ada. Manakala pada tahun 2017, seluas 105,632 hektar kawasan di Semenanjung Malaysia telah dikenal pasti sebagai cadangan hutan simpanan kekal.
Tuan Yang di-Pertua,
Dalam mengekalkan kelestarian flora dan fauna di Semenanjung Malaysia, pengurusan hutan yang dilaksanakan adalah berpandukan kepada amalan Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management). Pelaksanaan pengurusan ini dilaksanakan dalam kawasan hutan simpanan kekal dan diuruskan sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).
Untuk makluman dewan yang mulia ini, pembalakan dalam kawasan hutan simpanan kekal dilaksanakan mengikut amalan Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System – SMS). Melalui sistem ini, pengeluaran pokok dikawal berdasarkan kriteria-kriteria tertentu yang telah ditetapkan. Pembukaan sesuatu kawasan pembalakan juga adalah dikawal melalui penetapan Catuan Tebangan Tahunan (CTT) iaitu keluasan kawasan yang dibenarkan untuk aktiviti pengusahasilan setiap tahun bagi setiap negeri. Penetapan CTT dibuat bagi setiap tempoh Rancangan Pembangunan Lima Tahun Negara dan diputuskan dalam MTN.
4
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) juga telah meneliti keperluan untuk menambahbaik pentadbiran, pengurusan, pemeliharaan dan pembangunan perhutanan di Semenanjung Malaysia dengan membuat semakan semula kepada Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
Tujuan pindaan Akta Perhutanan Negara [Akta 313] adalah untuk :-
i) Memperketatkan proses pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal (HSK);
ii) Memantapkan penguatkuasaan hutan bagi membanteras kegiatan pengambilan hasil hutan secara haram;
iii) Meningkatkan kadar denda dan hukuman serta penalti tambahan bagi membendung kesalahan hutan yang merosakkan alam sekitar; dan
iv) Mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas dalam pelaksanaan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].

Sekian, terima kasih.​

Attachments