Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

04 December 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

17

Soalan

​Tuan Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien [ Julau ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan bilangan Orang-Utan liar di Malaysia, dan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian untuk memastikan spesies ini terpelihara.

Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

Orang Utan adalah spesies endemik yang hanya boleh dijumpai di Kepulauan Borneo dan Sumatra. Bilangan orang utan liar di Malaysia dianggarkan sekitar 12,278 hingga 13,363 ekor.
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan spesies ini terus terpelihara. Diantara langkah-langkah tersebut ialah:
(i) menguatkuasakan undang-undang menerusi Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (Sabah) dan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 (Sarawak) yang memperuntukkan penalti bagi kesalahan membunuh, menganggu dan memburu hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya;
(ii) menggunakan pendekatan in-situ iaitu mewujudkan kawasan hutan terlindung sepenuhnya (Totally Protected Areas, TPA) di Sarawak. Pada masa kini, 24% atau lebih daripada 247,000 hektar daripada 1 juta hektar kawasan yang disasarkan untuk diwartakan sebagai kawasan TPA adalah dikhaskan untuk perlindungan spesies orang utan di Sarawak. Di Sabah pula, koridor diwujudkan untuk pergerakan orang utan dari satu kawasan dilindungi ke satu kawasan dilindungi yang lain
terutama bagi kawasan hutan berkelompok (fragmented forest) bagi mengelakkan kepupusan setempat;
(iii) menggunakan pendekatan ex-situ iaitu menubuhkan Pusat Pemuliharaan Hidupan Liar di Semenggoh dan Matang di Sarawak dan Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sabah bagi menguruskan anak orang utan yatim;
(iv) menjalankan program kesedaran awam tentang kepentingan perlindungan orang utan di Sabah dan Sarawak menerusi ceramah dan pameran di sekolah, program bersepadu dengan badan bukan kerajaan dan program anak angkat orang utan; dan
(v) kerjasama dengan sektor swasta dalam aktiviti perlindungan orang utan seperti dengan Malaysian Palm Oil Council (MPOC) di kawasan tanah gambut di Taman Negara Ulu Sebuyau dan Taman Negara Sedilu di Sarawak.

Sekian, terima kasih.​


Attachments