Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

10 December 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

6

Soalan

YBTM JAWAB

Datin Rahimah Binti Haji Mahamad minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah status kajian dan pemantauan yang dilakukan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengenai bahaya gempa bumi di negeri-negeri berisiko tinggi diancam kejadian ini serta apakah persediaan yang diambil Kerajaan dalam menetapkan standard baharu yang mengutamakan keselamatan orang awam dan harta benda

Jawapan

Tuan Yang di- Pertua,

Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah menjalankan kajian, penilaian dan pemantauan bahaya gempa bumi di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas iaitu Projek Pemetaan Sesar Aktif dan Kawasan Risiko Gempa Bumi yang dilaksanakan pada tahun 2016 sehingga 2020. Projek ini merangkumi keluasan keseluruhan hampir 10,000 km persegi di kawasan seperti berikut:
(a) Ranau dan Lahad Datu, Sabah;
(b) Niah, Sarawak;
(c) Bukit Tinggi dan Janda Baik, Pahang;
(d) Batang Kali-Ulu Yam, Selangor;
(e) Kuala Pilah, Negeri Sembilan;
(f) Kenyir, Terengganu; dan
(g) Manjung dan Temenggor, Perak.
Melalui projek tersebut, garis-garis sesar aktif yang dikenalpasti telah menyebabkan gempa bumi akan dicirikan, dinilai dan dipantau melalui kajian pemetaan lapangan, kajian subpermukaan melalui kaedah geofizik, perparitan (trenching) dan pembinaan penanda aras gempa bumi (PAG). PAG yang terdiri daripada PAG aktif (pengukuran secara langsung) dan PAG pasif (pengukuran secara manual) adalah untuk memantau kadar pergerakan di sepanjang garis-garis sesar aktif. PAG tersebut akan diukur secara berkala iaitu sebanyak 4 kali setahun.
3
Sehingga kini, JMG telah melaksanakan pemetaan, pencirian dan penilaian garis-garis sesar aktif serta telah melaksanakan pemasangan 39 PAG dengan perincian seperti berikut:
(a) 27 PAG di Kundasang, Ranau (26 PAG pasif, 1 PAG aktif);
(b) 10 PAG Aktif di Lahad Datu Sabah; dan
(c) 2 PAG di Bukit Tinggi Pahang.
Kerja-kerja pemantauan PAG ini sedang dilaksanakan dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Hasil kajian projek ini telah digunakan dalam penghasilan Peta Bahaya Seismik bagi menunjukkan kawasan yang dijangka akan mengalami kesan atau bahaya terhadap kejadian gempa bumi yang berlaku sama ada dari dalam atau dari luar negara. Hasil kajian dan pemantauan pergerakan garis-garis sesar ini juga akan digunakan dalam mengemaskini maklumat alam peta tersebut pada masa akan datang.
Untuk mengurangkan kesan bahaya gempa bumi dan mengelakkan kemalangan jiwa serta kerosakan harta benda apabila berlaku gempa bumi, kempen kesedaran awam serta latih amal mengenai gempa bumi harus dilaksanakan di kawasan-kawasan yang berisiko oleh pihak-pihak yang berkaitan seperti Agensi Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama agensi-agensi lain yang berkaitan. Pihak JMG juga telahpun melaksanakan beberapa siri kesedaran awam bahaya gempa bumi di kawasan Kundasang, Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu pada tahun 2017 dan 2018 dengan memberi penumpuan kepada pemahaman terhadap bahaya dan kesan gempa bumi.

Sekian, terima kasih​

Attachments