Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 1

Sesi

Mesyuarat Kedua

Tarikh Persidangan

11 December 2018

Tahun Persidangan

2018

Kategori

Sektor Air

Nombor Soalan

32

Soalan

​Tuan Chandra Mohan A/L S. Thambirajah minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan kejayaan Kaedah-kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014 dalam usaha-usaha migrasi kepada meter individu dan langkah-langkah lain yang sedang diambil untuk membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Management Corporations berpindah daripada sistem meter pukal kepada meter individu.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,
1. Pada 1 Februari 2014, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menguatkuasakan Kaedah-Kaedah Industri Perkhidmatan Air (Retikulasi Air dan Pemasangan Paip) 2014 (Kaedah).
2. Antara peruntukan dalam Kaedah tersebut adalah mengenai migrasi meter pukal kepada meter individu bagi bangunan kediaman bertingkat tinggi dan komuniti berpagar.
3. Sebelum migrasi diperkenalkan, operator bekalan air hanya mengeluarkan bil-bil air kepada pihak pengurusan bangunan berdasarkan kepada bacaan meter pukal. Contohnya di Selangor dan Kuala Lumpur:
• Caj penggunaan meter pukal - RM1.38 semeter padu; dan
• Caj penggunaan minima - RM173.00.
4. Apabila permohonan migrasi diaktifkan, operator bekalan air akan mengeluarkan bil-bil air kepada pengguna secara terus. Caj yang dikenakan bagi pengguna individu adalah mengikut kadar caj domestik.
3
5. Objektif utama program migrasi ini adalah untuk:
(i) membolehkan pengguna-pengguna di bangunan kediaman bertingkat menikmati kadar caj yang dikenakan kepada pengguna-pengguna kediaman/domestik;
(ii) melindungi pengguna yang membayar bil air bulanan supaya tidak dikenakan penalti air dipotong apabila syarikat pengurusan bangunan gagal mengutip caj bil air daripada pengguna yang ingkar; dan
(iii) mengelakkan syarikat pengurusan bangunan daripada menggunakan ugutan untuk memotong bekalan air sekiranya pengguna tidak membayar yuran penyenggaraan bangunan atau lain-lain caj.
6. Pelaksanaan dan penguatkuasaan peruntukan-peruntukan dan Kaedah-Kaedah ini adalah antara usaha Kerajaan untuk membantu rakyat yang menghuni rumah pangsa, apartmen dan kondominium memperolehi manfaat seperti perkara (5) di atas.
7. Antara masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak operator bekalan air dalam melaksanakan proses migrasi meter pukal kepada akaun meter individu adalah:
(i) kedudukan meter yang tidak sesuai di mana ianya sukar untuk dibaca dan disenggara kerana terhalang dan sebagainya;
4
(ii) tapak meter yang tidak sesuai di mana ia telah reput, berkarat dan bocor atau dibuat dari bahan yang berkualiti rendah di mana ianya menyebabkan kesukaran kepada operator bekalan air untuk menyenggara meter;
(iii) terdapat pemasangan pam air berhampiran meter di mana air dipam terus dari paip;
(iv) terdapat pemasangan penapis air yang boleh menganggu pembacaan meter dan juga menyukarkan penyenggaraan meter. Pemilik juga enggan menanggalkan penapis air berkenaan; dan
(v) pemasangan meter terbalik dan meter yang digunakan tidak menepati spesifikasi meter yang diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
8. Bagi membantu Perbadanan Pengurusan atau Badan Pengurusan Bersama melaksanakan proses migrasi daripada akaun meter pukal kepada akaun bekalan air meter individu, SPAN dan operator air sentiasa memberi penerangan dan taklimat kepada pihak terlibat.
Sekian, terima kasih.​

Attachments