Tuan Yang di-Pertua,
Anggaran tahap banjir yang akan melanda Malaysia pada akhir tahun atau awal tahun hadapan adalah berdasarkan tinjauan cuaca dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET).
Merujuk kepada laporan Tinjauan Cuaca bagi tempoh Oktober 2018 hingga Mac 2019 oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Monsun Timur Laut dijangka berlaku pada November 2018 hingga Mac 2019. Hujan dijangkakan pada tahap yang normal (iaitu pada paras purata) dari November 2018 hingga Disember 2018. Dengan jangkaan hujan ini, banjir dijangkakan pada tahap banjir normal tahunan.
Antara persiapan Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) bagi menghadapi banjir adalah;
1) Melaksanakan Program Ramalan Dan Amaran Banjir Negara (PRAB) secara berfasa. PRAB Fasa 1 melibatkan 3 lembangan iaitu Lembangan Sungai Kelantan, Lembangan Sungai Terengganu dan Lembangan Sungai Pahang sedang diuji jalan sepenuhnya pada tahun 2018. Manakala baki 38 lembangan lagi akan dilaksanakan pada Fasa 2 bermula tahun 2018. Pemantauan status hujan dan aras air sungai dari semasa ke semasa akan dilaksanakan dan hebahan amaran ramalan banjir 2 hari awal akan dilaporkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan orang awam sebagai persediaan awal.
2) Melaksanakan Projek Pemuliharaan Sungai Untuk Mengurangkan Risiko Banjir Pelbagai Negeri bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh negara dimana untuk tahun 2018 ini sejumlah RM 128.9 juta peruntukan telah diluluskan dan telah diagihkan ke seluruh Negara melalui JPS negeri. Kerja-kerja telah dan sedang dilaksanakan di seluruh Negara.
Skop kerja yang terlibat di bawah peruntukan ini adalah kerja pengorekan sungai, muara sungai, pembinaan struktur hakisan tebing sungai, membuang kelodak, sampah, sisa pepejal, pemotongan rumput, menaiktaraf dan menyelenggara aset/struktur kawalan banjir yang bertujuan mengurangkan risiko banjir.
3) Melaksanakan Kerja-Kerja Kecil Kecemasan Luar Jangka bagi menaiktaraf sistem saliran dan struktur-struktur saliran dan ban pantai bagi mengurangkan kejadian banjir kilat dan juga banjir akibat limpahan air laut. Sejumlah RM 30.93 juta telah diperuntukkan diseluruh Negara dalam tahun 2018 dimana sebahagian kerja telah siap dilaksanakan dan sebahagian kerja sedang dilaksanakan.
Sekian, terima kasih