Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

12 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

40

Soalan

Dato' Hasbullah bin Osman [ Gerik ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan :-
(a) langkah-langkah jangka pendek dan panjang bagi menangani isu kepupusan haiwan yang terancam seperti harimau dan badak sumbu; dan
(b) apakah pendirian Kementerian berhubung penyahwartaan sebahagian kawasan kompartmen 19, Hutan Simpan kekal Bukit Lagong Mukim Batu dan Rawang, Selangor Darul Ehsan bagi di beri projek pembangunan perumahan.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

a) Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) terus komited bagi menangani isu kepupusan haiwan yang terancam seperti harimau dan badak sumbu melalui langkah-langkah seperti berikut:
1. Langkah Jangka Pendek

(i) Meningkatkan rondaan penguatkuasaan dan pemantauan harimau di kawasan-kawasan hotspot pemburuan haram di mana 200 kakitangan PERHILITAN kini sedang menjalankan rondaan secara berterusan di 20 lokasi hotspot pemburuan haram Harimau Belang dan spesies terancam yang lain melalui Ops Belang;

(ii) Meningkatkan rondaan penguatkuasaan di dalam dan luar Kawasan Perlindungan (PA) menerusi program operasi bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia;

(iii) Melaksanakan Operasi Jerat secara berkala di habitat hidupan liar bagi mencari dan memusnahkan jerat;

(iv) Mengadakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya selama 2 tahun iaitu 2019 – 2020 dengan tema khusus iaitu
“Save Our Malayan Tiger”. Kempen ini telah dilancarkan pada 17 Mac 2019 sempena Hari Hidupan Liar Sedunia 2019;

(v) Menjadikan tahun 2019 sebagai “Tahun Perangi Jenayah Siber Hidupan Liar” (Combating Wildlife Cybercrime) sebagai kempen menangani jenayah hidupan liar atas talian yang semakin berleluasa;

(vi) Melaksanakan moratorium pemburuan terhadap spesies mangsa harimau seperti Rusa Sambar dan Kijang selama 5 tahun iaitu dari 1 November 2016 hingga 30 November 2021;

(vii) Meningkatkan program kesedaran awam seperti pameran, ceramah, dialog bersama masyarakat menerusi Jabatan PERHILITAN dan kerjasama dengan pihak NGO yang berkaitan; dan

(viii) Survei Badak Sumatera di lapangan masih diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke11 walaupun tiada rekod kehadirannya di habitat asal dicatat sejak tahun 2010.
2. Langkah Jangka Panjang

(i) Memperbanyakkan program pelepasan sumber makanan seperti Rusa Sambar di habitat-habitat populasi harimau bagi memperbanyakkan sumber makanan kepada harimau;
(ii) Merancang untuk mewujudkan dan mewartakan Santuari Harimau Belang di tiga landskap utama iaitu Belum-
Temengor (Perak), Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Rompin);
(iii) Mewujudkan National Tiger Conservation Centre (NTCC) di Lanchang, Pahang bagi menambah populasi harimau untuk dilepaskan ke habitat asalnya;

(iv) Mengadakan Program Sukarelawan yang melibatkan masyarakat awam untuk bersama-sama terlibat secara langsung membantu kerajaan dalam usaha mencegah jenayah hidupan liar dan pemuliharaan hidupan liar.

(v) Menjalankan aplikasi Teknologi Pembiakan Termaju (ART) bagi menghalang kepupusan spesis Badak Sumatera. Program permanian berhadas (Artificial Insemination) dan penghasilan Embryo di dalam makmal adalah percubaan untuk meningkatkan kelahiran anak Badak Sumatera. Program ini sedang dijalankan oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah bersama pihak Borneo Rhino Alliance (BORA) dengan bantuan kepakaran dari pihak Zoo Berlin, Jerman ke atas dua individu yang sedang dipelihara di Rezab Hidupan Liar Tabin, Sabah.
Tuan Yang di-Pertua,

(b) Pihak kementerian mengambil maklum bahawa Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 74(2) telah menetapkan bahawa tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Susulan itu, sebarang pewartaan keluar kawasan Hutan Simpanan Kekal yang diwartakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) merupakan kuasa pihak negeri.

Walau bagaimanapun, pihak kementerian secara dasarnya tidak bersetuju dengan pewartaan keluar mana-mana Hutan Simpanan Kekal.
Pendirian ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara dilitupi kawasan berhutan dan pokok-pokok sepertimana yang dinyatakan semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992. Komitmen ini diperkukuhkan lagi oleh YAB Perdana Menteri Malaysia semasa Persidangan Parti Ke-15 Kerangka Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP15-UNFCCC) di Copenhagen, Denmark pada tahun 2009.

Sekian, terima kasih.​

Attachments