Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

13 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

41

Soalan

Tuan Teh Kok Lim [ Taiping ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan SOP dalam kawalan Hutan Simpan Kekal daripada teroka haram dan teroka luar kerana didapati tindakan kawalan pada kes-kes yang tertentu amat mengecewakan

Jawapan

​​

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memandang serius isu penerokaan haram yang melibatkan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Pada masa ini penjenayah yang melakukan pembalakan haram atau kesalahan hutan boleh didakwa berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
Sehingga kini, JPSM mempunyai enam (6) Standard Operating Procedure (SOP) yang melibatkan skop penguatkuasaan dan perundangan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM) bagi mengawal dan membendung penerokaan haram di HSK.
KATS melalui JPSM turut mengadakan inisiatif program penguatkuasaan bersepadu. Program tersebut diadakan bagi memperkasakan penguatkuasaan dalam membanteras penerokaan haram di dalam dan di luar HSK seperti berikut:

(a) Penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JET);
(b) Pasukan penguatkuasaan perhutanan di negeri-negeri telah disediakan kemudahan logistik yang rugged seperti motosikal lasak dan penggunaan senjata api;

(c) Program kawalan menyeluruh di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) terutamanya bagi kawasan-kawasan yang
dikenal pasti berisiko tinggi (hotspot) bertujuan membanteras aktiviti pencerobohan dan pembalakan haram di Hutan Simpanan Kekal;

(d) Penubuhan Unit Perisikan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia bagi membantu tindakan penguatkuasaan yang tepat dan pantas;

(e) Penggunaan teknologi terkini melalui aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan. Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara real time; Geographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS); dan

(f) Penubuhan Pusat Pemantauan Sumber Hutan Negara yang beroperasi 24 jam di Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dalam pemantauan kesalahan hutan.

Sekian, terima kasih.​


Attachments