Tuan Yang di-Pertua,
1. Pada masa ini, caj perkhidmatan pembetungan semasa yang dikenakan kepada pengguna adalah mengikut kategori seperti berikut:
a) Domestik - Kadar Rata
b) Komersial - Caj asas berdasarkan nilai tahunan dan Caj penggunaan air
c) Kerajaan - Caj asas dan Caj penggunaan air:
2. Semenjak tahun 1997, tarif pembetungan domestik tidak pernah disemak manakala tarif komersial telah diturunkan 3 kali walaupun termaktub di dalam perjanjian konsesi terdapat terma yang membolehkan IWK memohon semakan semula kadar perkhidmatan pembetungan secara berkala. Ketiadaan kenaikan tarif melebihi 22 tahun telah menyebabkan kedudukan kewangan IWK yang tidak mapan yang mana pendapatan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan operasi (opex) dan seterusnya menjejaskan perkhidmatan pembetungan secara keseluruhannya. Defisit opex ini ditanggung oleh Kerajaan melalui pemberian subsidi antara RM150 juta sehingga RM200 juta setahun.
3
3. Oleh yang demikian, Kerajaan dalam proses merangka pendekatan yang bersesuaian untuk memastikan tarif pembetungan yang dikenakan kepada pengguna yang lebih saksama dan telus dan dalam masa yang sama mencerminkan kos operasi perkhidmatan pembetungan sebenar. Pada masa ini juga, kadar tarif yang dikenakan adalah antara yang terendah berbanding dengan negara-negara lain. Oleh itu, salah satu pendekatan yang sedang dipertimbangkan adalah pengenaan kadar tarif berasaskan konsep volumetrik iaitu penggunaan air selaras dengan prinsip “pay-per-use”. Pada masa yang sama, pendekatan ini akan menggalakkan penjimatan penggunaan air dan pemuliharaan sumber air.
4. Selain itu, penetapan tarif volumetrik dibuat berdasarkan penyusunan semula struktur tarif kepada kategori domestik, bukan domestik dan industri serta pelaksanaan pengebilan bersepadu (joint billing) di antara operator air dan pembetungan. Dalam konteks ini, kerjasama erat antara operator air dan pembetungan memainkan peranan yang amat penting dalam menjayakannya.
Sekian terima kasih.