Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

14 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

35

Soalan

YB. Dato' Seri Ahmad Faizal bin Dato' Azumu [ Tambun ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah strategi jangka masa panjang Kerajaan Pusat dalam membantu negeri yang mengambil usaha melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu, serta status permohonan penyenaraian Taman Diraja Royal Belum Perak sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kementerian ini sedang mengkaji beberapa insentif ekonomi untuk membantu Kerajaan Negeri yang mengambil usaha untuk melindungi kawasan perlindungan sedia ada dan menambah kawasan perlindungan yang baharu melalui instrumen Ecological Fiscal Transfer (EFT) bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA). Pihak kementerian dengan kerjasama Pihak Berkuasa Negeri melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia dan Jabatan Perhutanan Negeri telah mengklasifikasikan Hutan Simpanan Kekal mengikut fungsi seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313]. Semua Jabatan Perhutanan Negeri juga telah diminta untuk meningkatkan keluasan Hutan Simpanan Kekal khususnya melalui pewartaan kawasan-kawasan yang terlibat dalam projek Central Forest Spine dan Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Lain yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara sebagai Hutan Perlindungan. Sehingga Disember 2018, seluas 1,825,131 hektar telah dikenalpasti sebagai kawasan Hutan Perlindungan di dalam Hutan Simpanan Kekal.
Selain daripada itu pihak kementerian juga mengadakan penguatkuasaan bersepadu yang melibatkan JPSM dan agensi penguatkuasaan yang lain bagi memantau dan menguatkuasakan kawasan perlindungan dari diceroboh. Kementerian ini juga mengesyorkan kepada mana-mana Kementerian/Jabatan/agensi penguatkuasaan yang mempunyai bidang kuasa perundangan bagi tujuan pemuliharaan seperti mana yang dihasratkan oleh Ahli Yang Berhormat supaya dapat mewarta dan melindungi kawasan tersebut mengikut bidang kuasa masing-masing.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, borang Tentative List Taman Negeri Royal Belum Perak telah dihantar ke pihak UNESCO pada 31 Januari 2017 dan telah diperakui penerimaannya oleh World Heritage Committee (WHC) yang bersidang pada 02 hingga 12 Julai 2017 di Krakow, Poland. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara (JWN) sedang menyediakan dossier pencalonan Taman Negeri Royal Belum Perak dan dijangka dapat dihantar kepada pihak UNESCO selewat-lewatnya sebelum 31 Januari 2020. Ini termasuk menjalankan kajian dengan kerjasama pakar yang terlibat, mendokumentasikan maklumat, menyediakan Pelan Pengurusan Pemuliharaan (Conservation Management Plan) serta Rancangan Kawasan Khas (Special Area Plan), bahan-bahan promosi, penerbitan dan lain-lain.

Sekian, terima kasih.

Attachments