Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

18 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Biodiversiti

Nombor Soalan

1

Soalan

YBM JAWAB

Tuan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil [ Lembah Pantai ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan jumlah populasi Harimau Malaya di seluruh Malaysia berdasarkan dapatan terkini Survei Harimau Kebangsaan Pertama, dan langkah-langkah yang akan dilaksana untuk mengekal dan meningkatkan populasi Harimau Malaya.

Jawapan

Tuan Yang Dipertua,

Untuk makluman Yang Berhormat, jumlah populasi Harimau Malaya di seluruh Semenanjung Malaysia berdasarkan dapatan terkini Survei Harimau Kebangsaan Pertama (1st National Tiger Survey - 1st NTS) yang telah dijalankan di 75% daripada 44,000 km2 plot kajian dari tahun 2016-2018 adalah kurang dari 200 ekor. Jumlah sebenar populasi Harimau Malaya akan diketahui setelah Survei Harimau Kebangsaan Pertama selesai pada tahun 2020. Data ini menunjukkan populasi Harimau Malaya berada di tahap yang membimbangkan. Sekiranya tiada tindakan yang drastik diambil bagi mengatasi masalah penurunan populasi Harimau Malaya ini, dianggarkan dalam tempoh lima (5) ke sepuluh (10) tahun Malaysia akan kehilangan spesies ini buat selama-lamanya.

Sehubungan dengan itu, pihak Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Lair dan Taman Negara (PERHILITAN) dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan lain, gabungan NGO alam sekitar, dan agensi-agensi lain kini mengambil langkah proaktif bagi mengekal dan meningkatkan populasi Harimau Malaya seperti berikut:

(i) Meningkatkan rondaan penguatkuasaan dan pemantauan harimau di kawasan-kawasan hotspot pemburuan haram di mana 200 kakitangan PERHILITAN kini sedang menjalankan rondaan secara berterusan di 20 lokasi hotspot pemburuan haram Harimau Belang;

(ii) Meningkatkan rondaan penguatkuasaan di dalam dan luar Kawasan Perlindungan (PA) menerusi program operasi bersepadu dengan kerjasama pelbagai agensi seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia yang akan dibincangkan dan dipersetujui oleh MKN dalam masa yang terdekat. Terdapat juga persetujuan pada dasarnya dari beberapa universiti untuk mendapatkan sukarelawan mahasiswa dari kursus biodiversiti dan perhutanan untuk mengadakan rondaan;

(iii) Melaksanakan Operasi Jerat secara berkala di habitat harimau bagi mencari dan memusnahkan jerat;
(iv) Melaksanakan moratorium pemburuan terhadap spesies mangsa harimau seperti Rusa Sambar dan Kijang selama 5 tahun iaitu dari 1 November 2016 hingga 30 November 2021 ;

(v) Memperbanyakkan program pembiakan (captive breeding) Rusa Sambar dalam kurungan untuk tujuan pelepasan ke habitat asal sebagai memperbanyakkan sumber makanan kepada Harimau Belang;

(vi) Merancang untuk mewujudkan dan mewartakan Santuari Harimau Belang di tiga landskap utama iaitu Belum-Temengor (Perak), Taman Negara (Pahang, Terengganu, Kelantan) dan Endau-Rompin (Rompin);

(vii) National Tiger Conservation Centre (NTCC) yang kini sedang dalam pembinaan 90% siap di Lanchang, Pahang dijangka siap pada penghujung tahun 2019 bagi tujuan penyelidikan;

(viii) Meningkatkan program kesedaran awam seperti pameran, ceramah, dialog bersama masyarakat menerusi Jabatan PERHILITAN dan kerjasama dengan pihak NGO yang berkaitan;

(ix) Menjadikan tahun 2019 sebagai “Tahun Perangi Jenayah Siber Hidupan Liar” (Combating Wildlife Cybercrime) sebagai kempen menangani jenayah hidupan liar atas talian yang semakin berleluasa;

(x) Mengadakan Program Sukarelawan yang melibatkan masyarakat awam untuk bersama-sama terlibat secara langsung membantu kerajaan dalam usaha mencegah jenayah hidupan liar dan pemuliharaan hidupan liar; dan

(xi) Mengadakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya selama 2 tahun iaitu 2019 – 2020 dengan tema khusus iaitu “Save Our Malayan Tiger”. Kempen ini telah dilancarkan pada 17 Mac 2019 sempena Hari Hidupan Liar Sedunia 2019.

Sekian, terima kasih.​


Attachments