Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

19 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

19

Soalan

YBM JAWAB

Tuan Charles Anthony Santiago [ Klang ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan kesudian Kerajaan menggubal satu dasar atau undang-undang baru untuk memastikan bahawa Kerajaan Negeri tidak menceroboh atau meluluskan lesen pembalakan hutan tanpa mempertimbangkan hak Orang Asli seperti yang dinyatakan dalam UNDRIP.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Jadual Kesembilan, Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa perkara-perkara berkaitan tanah dan hutan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Kuasa Eksekutif Kerajaan Persekutuan dalam perhutanan hanya dalam hal-ehwal berkaitan latihan, kajian serta nasihat teknikal yang dipertanggungjawabkan kepada Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) bagi tujuan pelaksanaannya.
Pengusahasilan hutan dalam hutan simpanan kekal dilaksanakan berdasarkan kepada Malaysian Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) yang dikenali sebagai MC&I (Natural Forest) di bawah Skim Persijilan Kayu Malaysia (Malaysian Timber Certification Scheme - MTCS). Prinsip 3 dan prinsip 4 di bawah MC&I (Natural Forest) memastikan aktiviti pembalakan turut mengambilkira hak dan kepentingan Orang Asli supaya tidak terjejas seperti berikut:

(a) Prinsip 3 berkaitan dengan hak-hak masyarakat pribumi memperuntukkan bahawa hak menurut perundangan dan adat masyarakat pribumi untuk memiliki, mengguna serta mengurus tanah, kawasan dan sumber mereka hendaklah diiktiraf dan dihormati; dan

(b) Prinsip 4 berkaitan dengan perhubungan masyarat dan hak-hak pekerja memperuntukkan bahawa operasi-operasi pengurusan hutan perlu mengekalkan atau meningkatkan kesejahteraan sosial dan ekonomi masyarakat tempatan dan pekerja-pekerja hutan untuk jangka masa panjang.
Untuk makluman Yang Berhormat , berdasarkan Seksyen 19 (g), Akta Orang Asli 1954 memperuntukkan kuasa kepada YB Menteri yang bertanggungjawab terhadap Orang Asli untuk mengawal mana-mana penebangan hutan di Kawasan Orang Asli dan Rizab Orang Asli yang telah diwartakan di dalam Akta Orang Asli 1954 bagi memastikan hak-hak dan kepentingan Orang Asli terpelihara.

Sekian, terima kasih.​



Attachments