Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

20 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air

Nombor Soalan

52

Soalan

Dato' Syed Abu Hussin bin Hafiz Syed Abdul Fasal [ Bukit Gantang ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah langkah penyelesaian jangka panjang Kerajaan bagi mengatasi permasalahan banjir di Temelok, Batu Hampar, dan Padang Gajah bagi kawasan DUN Trong serta Matang dan Simpang Halt bagi kawasan DUN Kuala Sepetang. Apakah jaminan Kerajaan, bahawa pembangunan Lebuh Raya Pantai Barat (The West Coast Expressway - WCE), Banting ke Changkat Jering tidak akan memberi implikasi baharu berhubung permasalahan banjir terutamanya di kawasan DUN Trong.​

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Kawasan Temelok, Batu Hampar, dan Padang Gajah bagi kawasan DUN Trong serta Matang dan Simpang Halt bagi kawasan DUN Kuala Sepetang terletak dalam kawasan tadahan Sungai Trong dan Sungai Nyior.
Bagi penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan, kajian bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian banjir dan kaedah yang berkesan untuk mengatasinya akan dilaksanakan. Permohonan untuk melaksanakan kajian tersebut akan dipohon dalam Rolling Plan 4 (2020) RMKe-11.
Di samping itu, Kementerian melalui Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) sentiasa memantau dan menyelenggara Sg. Trong dan Sg. Nyior untuk mengurangkan kejadian banjir.
Kawasan Temelok, Batu Hampar dan Padang Gajah dalam DUN Trong berada di kawasan hilir koridor pembinaan Lebuhraya WCE (Seksyen 11 – Persimpangan Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan) dengan jarak kira-kira 1.5 km sehingga 4.2 km daripada jajaran lebuhraya. Sehubungan itu, pembinaan lebuhraya tidak memberi sebarang implikasi baharu terhadap permasalahan banjir di kawasan tersebut.
Pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga sentiasa memantau kerja-kerja pembinaan yang dijalankan oleh pihak WCE terutamanya di lokasi-lokasi
sensitif dalam memastikan pembinaan Lebuhraya WCE tidak memberi kesan tambahan terhadap kawasan sensitif banjir/ saliran sedia ada.

Sekian, terima kasih.​


Attachments