Tuan Yang di-Pertua,
1. Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) ialah salah seorang yang diberi kuasa di bawah seksyen 191 (Akta 655) untuk menjalankan perkhidmatan dan aktiviti pembetungan. Berdasarkan seksyen 88 (Akta 655) mengkehendaki orang yang diberi kuasa untuk mengutip caj perkhidmatan pembetungan yang disediakan kepada para pengguna. Melalui Akta ini, setiap pengguna mempunyai tanggungjawab statutori untuk membayar perkhidmatan pembetungan IWK dalam tempoh 30 hari dari tarikh bil dikeluarkan dan jika jumlah caj perkhidmatan itu tidak dibayar, jumlah tersebut boleh didapatkan melalui tindakan sivil di mahkamah.
2. Bagi akaun-akaun yang tertunggak lebih dari 9 bulan atau tertunggak sebanyak RM1,500.00, usaha pengutipan bayaran hutang dilakukan dengan segera oleh IWK di peringkat awal lagi dengan memberi notis berterusan dan mengeluarkan surat-surat peringatan pembayaran, melawat premis pengguna-pengguna berkaitan, mengeluarkan surat tuntutan dan memfailkan saman
serta penyataan tuntutan kepada mana-mana pengguna yang masih belum menyelesaikan bayaran hutang tertunggak.
3. Justeru, memandangkan tindakan telah diambil dalam tempoh 6 tahun untuk menuntut caj pembetungan yang tertunggak, isu had masa tidak berbangkit.
Sekian, terima kasih.