Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

27 March 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

29

Soalan


YB DATO’ SERI AHMAD FAIZAL BIN DATO’ AZUMU [TAMBUN]​ minta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli menyatakan apakah peranan Kerajaan Pusat dalam usaha untuk membangunkan industri mineral yang lestari di negeri Perak yang dilihat mampu untuk meningkatkan pendapatan Kerajaan Negeri.​

Jawapan

​​

Yang di-Pertua,

Industri mineral telah memberikan sumbangan yang signifikan dalam membangunkan ekonomi negara. Negeri Perak pernah menjadi pengeluar terbesar bijih timah di Malaysia dan sehingga kini, ianya masih menyumbang kepada pengeluaran bijih timah negara lebih kurang 76.5 % iaitu sebanyak 3,181 tan daripada jumlah keseluruhan pengeluaran timah negara sebanyak 4,158 tan. Selain bijih timah, negeri Perak juga mengusaha dan menghasilkan batu kapur, granit, dolomit, pasir silika, kaolin, mika halus (serisit) dan lempong bebola.
Fungsi di bawah Akta Pembangunan Mineral 1994 adalah mengawal selia aktiviti industri mineral negara bagi mewujudkan situasi industri yang teratur dan lestari. Selain menguatkuasakan Akta Pembangunan Mineral 1994, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli turut melaksanakan Dasar Mineral Negara 2 (National Mineral Policy 2) yang bermula pada tahun 2009.
Dalam usaha Kerajaan Persekutuan untuk membangunkan industri mineral secara mampan, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah memperkenal dan melaksanakan Dasar Mineral Negara 2 (National Mineral Policy 2) yang bermula pada tahun 2009 yang menggariskan 7 Teras untuk meneruskan kecemerlangan dalam sektor mineral melalui pengurusan sumber mineral yang efektif dan efisien. Ini akan membantu dalam perindustrian negara serta menghasilkan produk-produk baharu yang bernilai tinggi yang akan terus meningkatkan produktiviti dan daya saing global negara. 

Pelaksanaan amalan perlombongan terbaik akan memastikan keseimbangan antara kekayaan ekonomi, kesejahteraan sosial dan pemeliharaan alam sekitar ke arah pembangunan mapan.
Secara khususnya di negeri Perak, KATS melalui JMG melalui projek di dalam RMKe-11 telah melaksanakan Kajian Potensi Sumber Batuan Silika yang telah dikenalpasti berpotensi untuk diusahakan sebagai sumber pendapatan yang baharu selain daripada mineral sedia ada. Sumber mineral ini dikenalpasti bersesuaian digunakan sebagai bahan mentah utama dalam industri penghasilan ferosilikon, silikon, komponen litar elektronik dan panel solar.

Kajian dalam mengenalpasti potensi mineral negara seperti bijih timah, pasir silika, batu kapur, mika halus (sericite) dan lempung bebola juga telah dilaksanakan sejak RMKe-5 hingga kini dan telah diterjemahkan kepada peningkatan hasil perlombongan daripada RM728.4 juta pada tahun 1986 sehingga RM1.1 billion pada tahun 2018.

Sekian, terima kasih.​


Attachments