YBM JAWAB
Tuan Yang di-Pertua,
Kementerian amat mengambil berat terhadap isu penyeludupan haiwan terancam. Malaysia adalah ahli dalam Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) dan terlibat di dalam usaha mengawal perdagangan hidupan liar menerusi pelaksanaan dan penguatkuasaan di bawah Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686].
Permintaan yang tinggi ke atas hidupan liar bagi pelbagai tujuan menyebabkan aktiviti ini terus berlaku. Kementerian melalui agensi berkaitan khususnya Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) yang bertanggungjawab membanteras aktiviti penyeludupan haiwan terancam di Semenanjung Malaysia telah dan sedang menjalankan pelbagai usaha bagi mengekang dan membanteras aktiviti tersebut:
(a) Jabatan PERHILITAN berusaha memerangi jenayah ini secara berterusan dan menggunakan pelbagai pendekatan seperti:
(i) menetapkan pos-pos kawalan di pintu-pintu keluar masuk utama negara yang beroperasi 24 jam sehari seperti Kuala Lumpur International Airport (KLIA), Sepang dan Kompleks Sultan Abu Bakar CIQ (Customs, Immigration and Quarantine), Johor.
(ii) Menjalin kerjasama dalam aktiviti kawalan dan operasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan lain seperti Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
(iii) Memperkukuh aktiviti perisikan dan penguatkuasaan dengan perkongsian maklumat antara agensi dan antara negara serta bekerjasama dengan badan bukan kerajaan yang menyokong konservasi hidupan liar seperti Malaysia Conservation Alliance for Tiger (MYCAT), Malaysia Nature Society (MNS), World Wide Fund for Nature (WWF), RIMBA dan TRAFFIC Southeast Asia, di samping penggunaan teknologi terkini dalam memastikan penjenayah dapat di jejaki dan maklumat dapat dikumpul sebaik mungkin.
(iv) Menjalankan usaha membanteras penyeludupan hidupan liar rentas sempadan di peringkat serantau dengan menyertai operasi-operasi yang dijalankan di peringkat antarabangsa melalui ASEAN Wildlife Enforcement Network (ASEAN-WEN) dan INTERPOL.
(v) Inisiatif menubuh dan membangunkan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan (National Wildlife Forensic Lab - NWFL) yang berfungsi sebagai makmal dalam menerima, mengumpul, mengkatalog, memproses dan menganalisa pelbagai jenis sampel genetik hidupan liar. Pangkalan data deoxyribonucleic acid (DNA) hidupan liar yang diperolehi ini turut digunakan untuk menyokong tindakan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyeludupan haiwan terancam, terutamanya dalam pembuktian kes-kes jenayah hidupan liar yang didakwa di mahkamah.
Tuan Yang di-Pertua,
(b) Sepanjang tahun 2011 sehingga 2018, Jabatan PERHILITAN telah menumpaskan sebanyak 167 kes yang melibatkan penyeludupan pelbagai spesies haiwan terancam seperti tenggiling, Orang Utan, pelbagai jenis kura-kura, burung murai batu dan pelbagai spesies ular. Pesalah-pesalah telah dijatuhi hukuman sama ada didenda atau dihukum penjara mengikut keseriusan kesalahan yang dilakukan. Untuk rekod, tindakan hukuman yang paling tinggi yang pernah dijatuhkan atas kesalahan menyeludup hidupan liar ialah sebanyak RM390,000 dan empat tahun penjara yang melibatkan tiga orang warga Indonesia atas kesalahan menyeludup pelbagai jenis hidupan liar termasuklah sepasang Orang Utan dari Sumatera, Indonesia ke Semenanjung Malaysia pada 21 September 2018 yang lalu.
Sekian, terima kasih.