Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

08 April 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

21

Soalan

​YB TUAN WONG TACK​ [Bentong ] Minta Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli menyatakan secara terperinci pelan tindakan untuk penyahtauliahan dan pemulihan (Decommissioning and Rehabilitation) lombong emas Raub Australian Gold Mine (RAGM). Sekiranya kerja-kerja pemulihan telah bermula, bilakah ia dijangka siap dan siapa yang akan menanggung kosnya.

Jawapan

Yang di-Pertua,

Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd. (RAGM) merupakan operator yang telah dilantik oleh pemegang Pajakan Lombong ML 1669 (tempoh pajakan sah sehingga 31 Disember 2038) dan Sijil Melombong MC 533 (tempoh pajakan sah sehingga 16 Ogos 2027) milik Akay Holdings Sdn Bhd (AKAY). Operasi melombong telah dihentikan oleh syarikat RAGM atas sebab pembatalan perjanjian perlombongan “Permit-To-Mine” di antara RAGM dengan AKAY mulai 26 April 2017 mengikut notis yang dihantar kepada agensi-agensi yang berkaitan.
Berdasarkan Enakmen Mineral 2001 (Pahang), pelaksanaan penyahtauliahan (decommissioning) dan pemulihan lombong, pemajak perlu menyatakan dengan terperinci bagi perlombongan berskala besar. Namun, sehingga kini pihak pemajak masih belum mengemukakannya untuk kelulusan Pihak Berkuasa Negeri (PBN).

Memandangkan kedua-dua pajakan melombong masih lagi berkuatkuasa sehingga tahun 2027 dan 2038, adalah menjadi tanggungjawab pemajak terhadap terhadap sebarang kerja-kerja pemulihan lombong. Namun, selepas tempoh tersebut, jika pajakan tidak diperbaharui, status tanah akan kembali menjadi tanah Kerajaan dan akan menjadi tanggungjawab PBN untuk melaksanakan kerja-kerja pemulihan jika tapak lombong tersebut masih belum dipulihkan.

Pada masa ini status lombong ini adalah berhenti sementara dan sehingga kini, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) masih belum menerima sebarang permohonan untuk menyambung operasi perlombongan. Sebelum sebarang operasi perlombongan boleh diteruskan, pihak pemajak dan pelombong mesti mematuhi beberapa keperluan perundangan seperti Penyediaan Environmental Impact Assessment (EIA) tambahan, penyediaan Pelan Pemulihan Lombong untuk kelulusan PBN dan Penyediaan Skim Pengendalian Melombong untuk kelulusan JMG serta pengemaskinian beberapa lagi keperluan termasuklah Environmental Management Plan (EMP) dan Erosion dan Sedimentation Control Plan (ESCP).

Sekian, terima kasih.

Attachments