Pertanyaan

Bukan Lisan

Dewan

Dewan Rakyat

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

38

Soalan

Datuk Seri Haji Ahmad bin Haji Maslan [ Pontian ] minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor dan adakah Pulau Pisang di perairan Pontian juga memiliki status ini. Adakah Pulau Pisang akan dibangunkan dan bila akan dimulakan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,
Sebagaimana yang diumumkan oleh YAB Menteri Besar Johor Dato’ Haji Osman bin Haji Sapian ketika menyampaikan ucapan penggulungan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 9 Disember 2018 yang lalu iaitu "Pulau Kukup akan terus kekal sebagai kawasan Taman Negara (Johor), serta hendaklah dijaga dan dikawal selia oleh kerajaan negeri di bawah Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ)".
 
Pulau Kukup merupakan salah satu tapak Ramsar di Malaysia iaitu pengiktirafan di peringkat antarabangsa yang diperolehi pada 31 Januari 2003 (No. Ramsar 1287) di atas keistimewaannya dan status tersebut masih kekal sehingga kini. Bagi memastikan kelestarian Pulau Kukup terjaga, pihak PTNJ sentiasa meneruskan usaha-usaha dalam memastikan empat teras utama iaitu konservasi, penyelidikan, pendidikan dan eko-pelancongan dapat dijalankan di kawasan tersebut.
 
Walau bagaimanapun status Pulau Pisang di perairan Pontian adalah bukan sebagai Taman Negara Johor. Pulau Pisang adalah sebahagian dari kawasan pentadbiran Majlis Daerah Pontian (Kepulauan) seluas 133.10 hektar meliputi empat (4) pulau iaitu Pulau Pisang, Pulau Sauh, Pulau Kemudi, Pulau Tunda yang terletak kira-kira 18 kilometer daripada Bandar Pontian. Sehingga kini, Pulau Pisang hanya dijadikan sebagai kawasan pentadbiran Majlis Daerah Pontian dan tidak ada sebarang perancangan pembangunan.
 
Sekian, terima kasih.

Attachments