Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

22 April 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Air

Nombor Soalan

65

Soalan

Dato' Kesavadas A/L A.Achyuthan Nair minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan adakah Kementerian dapat memastikan kaji selidik kebersihan atau penilaian risiko bagi semua tadahan air telah dijalankan di negara ini. Apakah keputusan atau penemuan daripada kaji selidik dan penilaian yang telah dijalankan

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Isu berkenaan dengan kebersihan air melibatkan beberapa Kementerian atau agensi, antaranya adalah :

1) Kementerian Kesihatan Malaysia (MOH);
2) Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC); dan
3) Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli (KATS)
Antara tindakan KATS melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam isu kebersihan atau penilaian risiko bagi semua tadahan air adalah:

1) Melaksanakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu (IRBM) yang bertujuan untuk mencapai empat (4) objektif utama, iaitu Memastikan Air Mencukupi, Memastikan Air Bersih, Mengurangkan Risiko Banjir dan Meningkatkan 

Pemuliharaan Alam Sekitar.
Dalam kajian ini, perkara-perkara yang dilaporkan bagi mencapai objektif yang kedua iaitu memastikan air bersih adalah seperti berikut:

1) Punca-punca pencemaran utama di dalam lembangan sungai;
2) Cadangan penyelesaian langkah-langkah struktur dan bukan struktur; dan
3) Agensi pelaksana yang bersesuaian mengikut bidang kuasa dan undang-undang.
Secara keseluruhannya, kajian ini dilaksanakan bagi tiga puluh lima (35) lembangan sungai dari 189 lembangan sungai utama di seluruh Malaysia sehingga RMKe-11.

2) Menggubal Rang Undang-Undang Sumber Air (RUU SA). RUU SA bertujuan untuk menyeragamkan undang-undang pengurusan sumber air yang termasuk penjagaan sungai di seluruh negara. Ini merupakan salah satu usaha Kementerian dalam melengkap dan mengukuhkan penguatkuasaan kawalan pencemaran dari segi perundangan dan dilihat akan membawa kepada pembangunan Negara yang mapan di mana wujudnya sungai yang bersih, air yang mencukupi, selamat serta persekitaran yang kondusif untuk kehidupan. Pemakaian RUU SA di peringkat negeri akan dapat memastikan kualiti sumber air dipelihara.

3) Melaksanakan National Water Balance Management System (NAWABS). Program ini melibatkan kajian sumber air, keperluan sumber air, pemodelan dan seterusnya pembangunan sistem. Objektif program ini adalah membantu pihak Pengurusan Sumber Air Negeri dalam menyediakan ketersediaan maklumat sumber air secara real time. Dengan adanya maklumat ini, ia menepati objektif utama Dasar Sumber Air Negara 2012 iaitu Jaminan dan Kelestarian Sumber Air harus dijadikan keutamaan negara bagi memastikan air mencukupi dan selamat untuk semua, melalui penggunaan secara lestari, pemuliharaan dan pengurusan sumber air berkesan dengan disokong oleh mekanisme perkongsian bersama melibatkan semua pihak berkepentingan.

Perkara berkaitan dengan pengurusan sumber air terletak di bawah bidang kuasa negeri selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Setiap negeri mempunyai perundangan berkaitan sumber air yang tersendiri.
Tuan Yang-di-Pertua, berdasarkan Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang telah dikeluarkan oleh PlanMalaysia, sumber air boleh diperolehi daripada empat (4) punca iaitu :
(i) Lembangan Sungai;
(ii) Air Bumi;
(iii) Sungai; dan
(iv) Badan Air.

Dengan kepesatan pembangunan negara, terdapat pelbagai guna tanah ketika ini yang melibatkan keempat-empat sumber air yang dinyatakan di atas. Ada di antaranya yang telah dibangunkan sebagai kawasan penempatan, kawasan perindustrian, kawasan pertanian dan sebahagian lagi masih kekal sebagai kawasan berhutan terutamanya kawasan yang telah diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK). Sehingga 31 Disember 2018, kawasan seluas 809,823 ribu hektar daripada HSK telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air di bawah Seksyen 10, Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di mana ia berada di bawah kawalan Jabatan Perhutanan Negeri.

Sekian, terima kasih​


Attachments