Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

25 April 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

50

Soalan

Datuk Haji Yahaya Bin Mat Ghani @ Abbas minta MENTERI AIR TANAH SUMBER ASLI menyatakan berapa banyak lagi ladang-ladang haram yang masih beroperasi di Cameron Highland. Apakah langkah tindakan yang telah diambil oleh Kerajaan bagi memastikan tiada lagi ladang haram diwujudkan dan juga apakah langkah yang telah dilakukan Kerajaan bagi memulihkan keadaan alam sekitar yang telah dicerobohi.

Jawapan

​​​​

Tuan Yang di-Pertua,

Buat masa ini, tiada pencerobohan baharu bagi tujuan pertanian di Kawasan Hutan Simpan Batu Gangan dan Hutan Simpan Terla B kerana kebanyakan kawasan ceroboh dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di kawasan ini telah diambil tindakan pemusnahan semasa Operasi Gading pada tahun 2015 dan 2016. Manakala kawasan pertanian haram yang terlibat dengan pemusnahan di Sungai Ichat baru-baru ini merupakan Tanah Kerajaan dan tidak melibatkan HSK.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) turut mengadakan program penguatkuasaan bersepadu Kerajaan bagi memastikan tiada lagi ladang haram diwujudkan. Program tersebut diadakan bagi memperkasakan penguatkuasaan dalam membanteras penerokaan haram di dalam dan di luar HSK seperti berikut:

(a) Penubuhan Pasukan Elit Penguatkuasaan JPSM (JET);

(b) Pasukan penguatkuasaan perhutanan di negeri-negeri telah disediakan kemudahan logistik seperti motosikal scrambler dan senjata api;

(c) Program kawalan menyeluruh di kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) terutamanya bagi kawasan-kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi (hotspot) bertujuan membanteras aktiviti pencerobohan dan pembalakan haram di HSK;

(d) Penubuhan Unit Perisikan JPSM bagi membantu tindakan penguatkuasaan yang tepat dan pantas;

(e) Penggunaan teknologi terkini melalui aplikasi Sistem Forest Monitoring Using Remote Sensing Plus 5 (FMRS+5) bagi mengesan perubahan litupan kawasan hutan. Sistem ini disokong dengan penggunaan dron yang memberi gambaran kawasan secara real time; Geographical Information System (GIS) dan Global Positioning System (GPS); dan

(f) Penubuhan Pusat Pemantauan Sumber Hutan Negara yang beroperasi 24 jam di Ibu Pejabat JPSM dalam pemantauan kesalahan hutan.
Antara langkah-langkah yang diambil oleh KATS melalui JPSM bagi memulihkan keadaan hutan yang telah dicerobohi adalah dengan menjalankan Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Terosot di mana sebanyak 200 hektar kawasan Cameron Highlands telah dijalankan aktiviti penanaman pokok.

Tuan Yang di-Pertua, dalam memulihkan keadaan alam sekitar yang telah dicerobohi, KATS melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) telah melaksanakan usaha pembaikan cerun melalui Projek Projek
Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) dan Pemetaan Geologi Terain (PGT) Cameron Highlands.
Projek-projek ini telah siap sepenuhnya pada tahun 2018. Dua (2) pendekatan utama yang diambil dalam pembaikan cerun seperti berikut:

a) Pelaksanaan Program Mitigasi dan Penyelenggaran Cerun melalui kerjasama dengan JKR, JPS dan Pihak Berkuasa Tempatan di Cameron Highlands;

b) Melaksanakan program peningkatan pengetahuan dan kesedaran awam (CEPA). Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Cameron Highlands dengan pekebun-pekebun sayur, dengan tumpuan kepada pemilik tanah cerun yang terlibat termasuk Persatuan Pengusaha Pertanian.
Pada Februari 2019, KATS juga telah mengadakan Makmal Cadangan Penyelesaian bagi isu melibatkan Cerun-cerun Berbahaya di Cameron Highland. Peta Potensi Bencana Tanah Runtuh Cameron Highlands yang dihasilkan oleh JMG dijadikan rujukan utama bagi menyelesaikan isu tersebut. Makmal ini telah dihadiri oleh 18 Agensi yang berkepentingan.

Tiga kluster utama penyelesaian isu Cerun Bahaya melibatkan:
(i) Mitigasi, Pemantauan dan Penyelenggaran Cerun;
(ii) Memperkenalkan Pertanian Lestari; dan
(iii) Pembangunan & Penguatkuasaan bagi kawalan Penbangunan di Tanah Tinggi.

Sekian, terima kasih.​


Attachments