Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 April 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

70

Soalan

YB Senator Datuk Lee Tian Sing minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan sejauh manakah keseriusan pihak Kementerian dalam menangani kegiatan pembalakan haram di (Semenanjung Malaysia) yang menjadi ancaman terhadap usaha pemeliharaan khazanah hutan. Sejauh manakah isu ‘land use conversion’ bagi tujuan pembangunan telah menyumbang kepada jumlah kemerosotan hutan negara kita sehingga kini.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman, Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) memandang serius isu penerokaan haram yang melibatkan Hutan Simpanan Kekal (HSK). Statistik kegiatan pembalakan haram yang berlaku di Semenanjung Malaysia sejak tahun 2010 sehingga kini menunjukkan bilangannya semakin berkurangan dan terkawal. Penjenayah yang melakukan pembalakan haram atau kesalahan hutan boleh didakwa berdasarkan Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313].
Sejak tahun 2006, JPSM telah mewujudkan enam (6) Standard Operating Procedure (SOP) melibatkan skop penguatkuasaan dan perundangan melalui Pekeliling Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (KPPSM) bagi mengawal dan membendung penerokaan haram dalam HSK.

KATS melalui JPSM turut mengadakan inisiatif program penguatkuasaan bersepadu bagi memperkasakan penguatkuasaan dan membanteras penerokaan haram di dalam dan di luar HSK.
Penukaran guna tanah (land conversion) kebanyakannya berlaku di kawasan tanah hutan Kerajaan negeri. Sehingga tahun 2016, Malaysia masih mengekalkan kira-kira 55.2% kawasan tanah di bawah litupan hutan. Ini adalah selaras dengan komitmen negara semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro pada tahun 1992 untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara di bawah litupan hutan.

Mesyuarat Ke-66 Majlis Tanah Negara pada 1 Disember 2010 telah membuat keputusan untuk menggesa semua kerajaan negeri supaya memberi komitmen dan sokongan berterusan ke arah mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara sebagai kawasan berhutan.
KATS melalui JPSM telah meneliti keperluan untuk menambah baik dan memantapkan lagi proses pewartaan keluar dan penggantian HSK melalui proses penyiasatan awam di mana perkara ini akan dicadangkan untuk pertimbangan Kerajaan Negeri.

Sekian, terima kasih.


Attachments