Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

30 April 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

81

Soalan

Dato' Fahariyah Binti Hj Md Nordin minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan prospek bagi mendapatkan sumber air bawah tanah melalui penggerudian telaga tiub untuk kegunaan penduduk di seluruh negara.

Jawapan

Tuan yang di- Pertua,

1. Menurut kajian yang dilaksanakan oleh Japanese International Cooperation Agency (JICA), 1982, menganggarkan simpanan air bawah tanah di Malaysia adalah sebanyak 5,000 bilion meter padu. Sungguhpun Malaysia mempunyai simpanan air bawah tanah yang banyak, tetapi kurang 3% daripada sumber tersebut digunakan sebagai bekalan air kepada penduduk negara. Pada hari ini bekalan air daripada sumber air bawah tanah hanya sekitar 200 Juta Liter Sehari (JLH) berbanding air permukaan sebanyak 10,445 JLH.

2. Di Semenanjung, negeri yang paling banyak menggunakan air bawah tanah adalah Kelantan. Kira–kira 47% (150 JLH) bekalan air awam di negeri tersebut terutama di Jajahan Kota Bharu diambil daripada sumber air bawah tanah. Kebanyakan penduduk luar bandarnya juga bergantung kepada air bawah tanah daripada telaga gali yang cetek.

3. Selain Kelantan, sektor perindustrian di Selangor juga menggunakan air bawah tanah dalam jumlah yang agak besar iaitu sekitar 7 JLH. Negeri-negeri lain di Semenanjung menggunakan air bawah tanah dalam jumlah yang kecil untuk kegunaan industri, keperluan komuniti setempat seperti penempatan perkampungan, sekolah dan pertanian. Purata penggunaan air tanah bagi negeri–negeri tersebut adalah di antara 1 JLH hingga 7 JLH.

4. Di Sabah pula, bekalan air awam daripada punca air bawah tanah banyak digunakan di daerah Sandakan dan Kota Belud. Kira–kira 2% (1.5 JLH) daripada bekalan air awam di Daerah Sandakan adalah daripada sumber air bawah tanah. Di daerah Kota Belud pula, penggunaan air bawah tanah telah meningkat terutama selepas kejadian gempa bumi pada bulan Jun 2015. Penggunaan air tanah di kawasan Kota Belud boleh meningkat sehingga 70% (5 JLH) semasa musim hujan di mana sebahagian besar loji terpaksa ditutup akibat masalah kelodak.

5. Bagi negeri Sarawak, air bawah tanah digunakan di kawasan-kawasan terpencil dan dalam skala kecil untuk bekalan komuniti setempat seperti rumah panjang dan sekolah. Penggunaan air tanah sebegini banyak terdapat di kawasan Kuala Tatau, Bintulu; Bintangor, Sarikei; Lawas, Miri; Kapit, Sibu dan Sri Aman. Agensi kerajaan atau syarikat pembekal air yang terlibat dalam membekalkan air bawah tanah di kawasan tersebut adalah seperti Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Lembaga Air Sibu dan LAKU Management Sdn. Bhd. dengan purata penggunaan air bawah tanah sekitar 5 JLH.

6. Daripada maklumat yang dikongsikan ini, prospek bagi mendapatkan sumber air bawah tanah melalui penggerudian telaga tiub dan kaedah-kaedah lain untuk kegunaan penduduk di seluruh negara adalah tinggi. Dalam masa yang sama, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan terus melaksanakan kajian eksplorasi dan pembangunan sumber air bawah tanah di bawah Projek-Projek Pembangunan yang diluluskan oleh Kerajaan.

Attachments