Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

07 May 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Mineral & Geosains

Nombor Soalan

49

Soalan

Datuk Ng Chiang Chin minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan :-
(a) sama ada Kerajaan boleh memastikan bahawa SOP baharu perlombongan bauksit di Kuantan yang dibenarkan semula tidak akan menjejaskan kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan; dan
(b) adakah hasil Penilaian Kesan Alam Sekeliling Terperinci (DEIA) dikaji dengan rapi dan teliti serta dipertimbangkan sebelum keputusan untuk membenarkan perlombongan bauksit dibuka semula.


Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan industri perlombongan yang mampan dan mengambilkira kepentingan semua pihak termasuk orang awam, Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) telah mengambil tindakan untuk menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengeksportan Bauksit Negeri Pahang yang akan menjelaskan secara terperinci seluruh rantaian aktiviti perlombongan bermula daripada peringkat pra-perlombongan, semasa perlombongan dan pasca perlombongan. Dokumen ini dirangka bagi memelihara kemampanan industri perlombongan, keselamatan dan kesejahteraan penduduk serta perlindungan alam sekitar.

Bagi memastikan kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan tidak terjejas akibat aktiviti perlombongan bauksit ini, KATS dan agensi-agensi lain yang berkaitan, berusaha untuk memastikan pihak pelombong patuh kepada SOP ini. Sebagaimana yang dinyatakan dalam perkara 1.49 SOP, “Pematuhan terhadap SOP oleh pihak pelombong akan dapat mengurangkan atau menghapuskan ancaman terhadap kesihatan dan keselamatan awam daripada kesan aktiviti perlombongan.”

Di antara langkah-langkah yang dinyatakan dalam SOP yang melibatkan isu kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan dinyatakan dalam Perkara 3.2 Kawalan Pencemaran, di mana pengusaha lombong dikehendaki melaksanakan mitigasi pencemaran alam sekitar di tapak perlombongan yang akan mencegah, mengurangkan dan mengawal
pelepasan bahan pencemar utama, iaitu pepejal terampai yang berpunca daripada aktiviti kacau ganggu tanah di tapak perlombongan.

Begitu juga dalam Perkara 5.2 Penetapan Spesifikasi Dan Garis Panduan Bagi Lori Pengangkut Bauksit / Mineral, di mana spesifikasi kenderaan yang membawa bahan mineral tersebut hendaklah bersesuaian dengan ciri-ciri fizikal bauksit bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, alam sekitar dan infrastruktur jalan raya tidak terjejas.
Perkara-perkara lain boleh dirujuk terus kepada SOP yang disediakan. Semua ketetapan yang digariskan dalam SOP ini, apabila dipatuhi sepenuhnya akan dapat memelihara kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan yang berada dalam persekitaran lombong yang berkenaan.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, dalam memastikan SOP ini bersifat inklusif dan mengambilkira kepentingan semua pihak yang terlibat, satu sesi pendengaran awam (public hearing) pada 14 April 2019 di Kuantan, Pahang telah diadakan. Dalam sesi ini, orang ramai telah mengemukakan cadangan dan pandangan ke arah penambahbaikan dokumen ini termasuk aspek kesihatan dan keselamatan penduduk tempatan. Semua cadangan akan diambilkira dalam memastikan industri perlombongan bauksit tidak memberikan impak yang negatif kepada penduduk setempat.

Bagi aktiviti perlombongan bauksit di Kuantan, pemaju perlu mengemukakan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) di bawah dibawah Seksyen 34A, Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS)
1974, iaitu aktiviti yang ditetapkan didalam Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 (Perintah EIA 2015) iaitu:-
Jadual Kedua, Perintah EIA 2015
Aktiviti 8. (a) Perlombongan bahan galian dalam kawasan baharu yang melibatkan operasi berskala besar;

Sekian, terima kasih​



Attachments