Pertanyaan

Lisan

Dewan

Dewan Negara

Parlimen

Parlimen 14

Penggal

Penggal 2

Sesi

Mesyuarat Pertama

Tarikh Persidangan

08 May 2019

Tahun Persidangan

2019

Kategori

Hutan

Nombor Soalan

26

Soalan

Dr. Yaakob bin Sapari minta MENTERI AIR, TANAH DAN SUMBER ASLI menyatakan apakah usaha Kerajaan untuk memastikan program konservasi hutan kekal dapat dilaksanakan.

Jawapan

Tuan Yang di-Pertua,

Untuk makluman, antara usaha-usaha Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) yang dilaksanakan dalam usaha memelihara hutan adalah:-

(a) Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-Spesies Yang Sesuai Di Pesisiran Pantai Negara
Program ini telah mula dilaksanakan pada 7 Februari 2005 dan merupakan program nasional jangka panjang bagi pemuliharaan pesisiran pantai. Sejak tahun 2005 sehingga kini, keseluruhan kawasan pesisiran pantai yang telah ditanam dengan pokok bakau adalah seluas 2,874 hektar melibatkan sebanyak 6.74 juta pokok di seluruh Malaysia.

(b) Program Perhutanan Sosial
Program ini merupakan aktiviti perhutanan yang melibatkan komuniti setempat dalam pemeliharaan hutan, pemulihan kawasan hutan terosot dan mengawal pencerobohan hutan dengan lebih berkesan.

(c) Program Penanaman Restorasi 5 juta Pokok di Semenanjung Malaysia
Program ini merupakan kesinambungan daripada Kempen Penanaman 26 juta pokok yang berakhir pada tahun 2014. Sejumlah 22.6 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh Semenanjung Malaysia bermula 2015 hingga 2018.

(d) Program Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot di Semenanjung Malaysia (yang melibatkan kawasan selain Hutan Simpanan Kekal)
Bagi tujuan pemulihan kawasan hutan terosot ini, Kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) telah memperuntukkan RM100 juta bagi memastikan pemuliharaan kawasan dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan luar HSK antaranya tanah kerajaan yang terosot dan miskin di Negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

(e) Program Pemulihan Kawasan Hutan Terosot (yang melibatkan kawasan Hutan Simpanan Kekal)
Program ini dilaksanakan bagi memulihara dan memelihara kawasan hutan terosot dan mensasarkan seluas 1,640 hektar hutan terosot untuk dipulihkan dengan anggaran sasaran penanaman sebanyak 1,025,000 juta anak benih pokok untuk ditanam. Pada tahun 2017 dan tahun 2018, seluas 528.85 hektar kawasan hutan terosot dan miskin telah berjaya ditanam dengan penanaman sebanyak 330,531 anak benih pokok yang merangkumi kawasan di Semenanjung Malaysia sahaja.

(f) Program Penghijauan bersama Badan-badan Bukan Kerajaan [Non-
Governmental Organization (NGO)]
Program pemulihan kawasan hutan terosot ini melibatkan aktiviti penanaman pokok melalui Program Penghijauan bersama NGO melibatkan penglibatan sukarelawan dikalangan masyarakat setempat, pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah.

(g) Aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan (research & development)
Program pemulihan kawasan terosot juga melibatkan aktiviti-aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi membantu meningkatkan keberkesanan usaha yang dilaksanakan. Aktiviti penyelidikan dan pembangunan ini dilaksanakan oleh pihak Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).

(h) Menaiktaraf Tapak Semaian
Selain itu, pada tahun 2017, JPSM giat menaik taraf tujuh (7) buah tapak semaian bagi meningkatkan pengeluaran bahan tanaman berkualiti tinggi bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pemuliharaan dan pemeliharaan hutan dengan melibatkan kos berjumlah RM 2.47 juta.

(i) Memulih Kawasan Hutan Terosot Melalui Aktiviti Rawatan Silvikultur
Pada tahun 2017, pemulihan kawasan hutan terosot melalui rawatan silvikultur yang telah dilaksanakan di peringkat Jabatan Perhutanan Negeri adalah sebanyak 14,980 hektar.

(j) Mengawal Kebakaran Hutan
Pasukan Semut Merah telah diwujudkan JPSM yang terdiri daripada kakitangan beruniform di setiap Jabatan Perhutanan Negeri. Pasukan ini berfungsi sebagai pasukan pertama yang mengawal kebakaran hutan daripada merebak dan mengelakkan kemusnahan ekosistem dan biodiversiti hutan.

Sekian, terima kasih​

Attachments